Sarawak Sedia Kongsi Kepakaran Tenaga Hijau Dengan Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN: Sarawak menyatakan kesediaan untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui dengan Brunei Darussalam.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika mengadakan pertemuan empat mata dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof, pada Khamis.
Menurutnya, Sarawak sedia membuka peluang kepada rakyat Brunei yang berminat untuk menimba pengalaman serta membina kerjaya dalam sektor hidroelektrik dan tenaga hijau bersama Sarawak Energy.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama dalam sektor tenaga akan membuka ruang kepada hubungan ekonomi yang lebih kukuh, di samping menyokong agenda pembangunan mampan yang sedang dilaksanakan oleh kedua-dua pihak.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kemajuan projek interkoneksi bekalan elektrik antara Sarawak dan Brunei Darussalam yang dilihat sebagai inisiatif strategik bagi memperkukuh keselamatan tenaga serta meningkatkan daya tahan sistem bekalan elektrik di rantau ini
Datuk Amar Awang Tengah berkata, perbincangan dan libat urus antara pihak berkaitan berjalan dengan baik dan beliau berharap rundingan yang sedang berlangsung dapat mencapai kemajuan positif dalam masa terdekat.
Beliau turut berharap beberapa perkara yang masih dalam rundingan dapat dimuktamadkan sebelum pertemuan pemimpin kedua-dua pihak akan datang bagi mempercepat pelaksanaan kerjasama yang telah dipersetujui.
Selain sektor tenaga, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama termasuk isu sempadan yang terus ditangani menerusi semangat persefahaman dan kerjasama erat antara agensi berkaitan.
Beliau menegaskan Sarawak akan terus komited memperkukuh hubungan erat dan kerjasama strategik dengan Brunei Darussalam dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga dan pembangunan serantau demi manfaat bersama.-EDISI UKAS