Kerajaan Komited Pastikan Rakyat Nikmati Kediaman Selesa Menerusi PPRS
BALINGIAN: Komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat berpendapatan rendah menikmati kediaman yang selesa dan selamat terus diperkasakan menerusi penyerahan sebuah rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) kepada penerima, Mohammad Fakhry Fasyin di Kampung Lintang, di sini, pada Khamis.
Majlis penyerahan projek siap bina itu telah disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi.
Menurut beliau, pelaksanaan PPRS mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan yang layak, khususnya mereka yang memerlukan kediaman lebih baik untuk meningkatkan kualiti hidup.
“PPRS merupakan antara inisiatif kerajaan yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah supaya mempunyai kediaman yang lebih selesa.
“Penyediaan rumah yang baik bukan sahaja memberi perlindungan kepada penerima, malah meningkatkan kesejahteraan keluarga serta menyediakan persekitaran kehidupan yang lebih kondusif,” katanya semasa berucap.
Abdul Yakub berharap, penerima dapat memanfaatkan rumah yang disediakan dengan sebaik-baiknya serta menjadikan rumah tersebut sebagai tempat membina kehidupan keluarga yang lebih selesa dan harmoni.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan, termasuk Pejabat Daerah Kecil Balingian, agensi pelaksana serta pihak kontraktor, Assna Resources.
Turut hadir semasa majlis itu ialah Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Balingian Nolin Gendang; SAO, Norhidayah serta Penghulu Harbi Baker.-EDISI UKAS