Sarawak Perkukuh Ekosistem Media Beretika Hadapi Cabaran Perang Persepsi
KUCHING: Sarawak akan terus memperkukuh pembangunan ekosistem media yang profesional, beretika dan bertanggungjawab sebagai usaha memperkukuh perpaduan masyarakat serta mendepani cabaran perang persepsi dalam era digital.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, landskap media yang berkembang pesat menuntut semua pemain industri, termasuk wartawan, editor, pencipta kandungan digital dan penggiat industri kreatif, mengamalkan penyampaian maklumat yang berintegriti bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Menurut beliau, masyarakat kini bukan sahaja berdepan ancaman peperangan secara fizikal, malah turut berhadapan dengan peperangan yang berlaku melalui penyebaran maklumat dan pembentukan persepsi di media sosial.
“Jika kita gagal mengurus maklumat berlandaskan etika dan tadbir urus yang baik, ia mampu mencetuskan kebencian, ekstremisme dan perkauman yang akhirnya menjejaskan perpaduan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 di sini, pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pengamal media memikul tanggungjawab besar sebagai ejen pembinaan negara dengan memastikan setiap laporan dan kandungan yang diterbitkan berasaskan fakta, integriti serta kepentingan awam.
Datuk Abdullah berkata, Kerajaan Sarawak juga komited memperkukuh pembangunan industri media negeri melalui penganjuran lebih banyak persidangan, bengkel pembangunan profesional serta penglibatan pemain industri dari dalam dan luar negara, selaras dengan aspirasi menjadikan Kuching sebagai hab persidangan media dan industri kreatif di rantau ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneliti cadangan mewujudkan sebuah pusat khas untuk pengamal media sebagai ruang berinteraksi, berkongsi idea dan menjalankan tugasan dalam persekitaran yang lebih kondusif, sekali gus menyokong pembangunan industri media di Sarawak.
Pada masa sama, beliau berkata format SMeC akan terus diperkasakan melalui penganjuran lebih banyak bengkel dan sesi pembangunan kapasiti bagi memperkukuh kemahiran serta profesionalisme pengamal media seiring perkembangan teknologi komunikasi dan media digital.
Beliau berharap kerjasama erat antara kerajaan dan industri media akan terus diperkukuh bagi melahirkan pengamal media yang bukan sahaja kompeten, malah berupaya memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang berinformasi, bersatu padu dan berdaya tahan terhadap penyebaran maklumat yang boleh menggugat kestabilan sosial.
Turut hadir Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pengerusi Sarawak Media Group Sdn. Bhd. (SMG), Dato Norhyati Mohd Ismail, Profesor Pengajian Asia, Universiti Tasmania, Prof. James Chin, Pengasas KupiKupi FM Sabah & Sarawak, Rita Sim Sai Hoon, Editor Berita, Tribune Press Sdn. Bhd., Sarah Hafizah Chandra, ketua-ketua jabatan serta kenamaan lain.-EDISI UKAS