Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Perjelas Hak, Nafkah & Pengurusan Harta Pusaka
SERIAN: Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak menjadi platform memperkasa pengetahuan masyarakat mengenai hak-hak di bawah syariat Islam, khususnya berkaitan isu kekeluargaan, perceraian dan pengurusan harta pusaka, sekali gus mengurangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben berkata, institusi keluarga merupakan asas penting dalam pembentukan sebuah masyarakat yang aman, stabil dan sejahtera.
Menurut beliau, keluarga yang harmoni akan melahirkan individu yang bertanggungjawab, generasi yang berakhlak serta masyarakat yang saling menghormati dan mengambil berat antara satu sama lain.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Residen Bahagian Serian, Abdul Khalid Manap ketika menyempurnakan majlis penangguhan Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak sempena Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak (MIS), di sini pada Khamis.
Seminar anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) dengan kerjasama MIS itu menghimpunkan seramai 150 peserta dan bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai Undang-Undang Keluarga Islam, hak selepas perceraian, pengurusan harta pusaka orang Islam serta peranan agensi berkaitan dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Sepanjang seminar berlangsung, peserta mengikuti slot Pembubaran Perkahwinan dan Hak-Hak Selepas Perkahwinan yang disampaikan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Serian, Muhammad Amiruddin, selain Forum Syariah Perdana mengenai pengurusan harta pusaka orang Islam yang melibatkan panel daripada JKSS, Pejabat Daerah Serian serta Jabatan Tanah dan Survei Serian.
Pada majlis sama, Abdul Khalid turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada lima orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan keluarga yang memerlukan di sekitar Sadong Jaya sumbangan Tabung Baitulmal Sarawak. -EDISI UKAS