Etika Tonggak Kebebasan Media, Asas Kepercayaan Masyarakat
KUCHING: Etika kewartawanan merupakan tonggak utama kepada kebebasan media dan menjadi asas penting dalam membina kepercayaan masyarakat terhadap setiap laporan yang disampaikan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kebebasan dalam pelaporan berita tidak boleh dilaksanakan secara mutlak, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pertimbangan etika, tanggungjawab serta nilai kemanusiaan.
Menurut beliau, terdapat pelbagai pendekatan terhadap konsep kebebasan, termasuk kebebasan mutlak yang berasaskan hak asasi manusia, kebebasan yang tertakluk kepada batasan tertentu serta kebebasan yang dipandu oleh nilai dan etika.
“Di sinilah media perlu membuat pertimbangan kerana isunya ialah sama ada untuk mengamalkan kebebasan mutlak sepenuhnya atau kebebasan yang mempunyai batasan serta dilaksanakan dalam kerangka pertimbangan etika tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 di sini pada Khamis.
Mengulas tema 'Trust' (Kepercayaan) yang diketengahkan pada persidangan tersebut, Premier Sarawak menegaskan konsep itu amat signifikan kerana hubungan antara media dan masyarakat terbina berasaskan kepercayaan terhadap maklumat yang disampaikan.
Menurut beliau, kepercayaan tersebut perlu dipelihara dalam setiap bentuk penyampaian, sama ada melalui liputan berita, penulisan di media cetak mahupun penerbitan kandungan di platform digital dan media sosial.
“Sebab itulah tema kepercayaan amat bertepatan untuk membuktikan sejauh mana seseorang (media) boleh dipercayai untuk melaksanakan amanah atau tugasan yang diberikan.
“Ia juga merujuk kepada hubungan yang terjalin, seperti hubungan antara anda dengan masyarakat yang menjadi sasaran liputan anda,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengamal media agar terus mengimbangi kebebasan bersuara dengan tanggungjawab serta etika profesional bagi memastikan keyakinan masyarakat terhadap institusi media terus diperkukuh.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-menteri Kabinet Sarawak, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan-timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, ketua-ketua jabatan serta tetamu lain.-EDISI UKAS