Kebebasan Bersuara Perlu Seiring Tanggungjawab, Pelihara Keharmonian Negara
KUCHING: Kebebasan bersuara tidak boleh dipisahkan daripada rasa tanggungjawab dan perlu bergerak seiring dengan nilai-nilai teras negara bagi memastikan kestabilan sosial terus terpelihara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Pengerusi Penganjur Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026, Datuk Abdullah Saidol berkata, dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, penyebaran maklumat yang tidak disahkan jarang sekali bersifat tidak memudaratkan kerana ia boleh mencetuskan sensitiviti dan menggugat keharmonian negara.
“Dalam masyarakat berbilang kaum yang meriah seperti Malaysia, berita "separuh masak" yang tidak disahkan jarang sekali tidak berbahaya.
“Jika dibiarkan begitu sahaja, catatan yang melulu dan berunsur perkauman boleh dengan cepat mengapi-apikan sensitiviti, sekali gus meruntuhkan keharmonian negara kita yang rapuh.
"Kebebasan bersuara yang sebenar tidak akan wujud tanpa rasa tanggungjawab yang sepadan; ia mesti wujud bersama dengan nilai-nilai teras negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian SMeC 2026 yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sebuah hotel di sini, pada Khamis.
Datuk Abdullah berkata, prinsip Rukun Negara, khususnya Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan, perlu terus dijadikan panduan dalam setiap penyampaian maklumat.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memelihara perpaduan bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan, malah memerlukan kerjasama semua pihak bagi mengelakkan platform digital daripada disalahgunakan sehingga mencetuskan perpecahan.
Dalam pada itu, beliau berkata pengamal media dan komunikasi perlu terus mengutamakan penyampaian maklumat yang tepat, sahih dan bertanggungjawab agar kepercayaan masyarakat terhadap institusi serta keharmonian negara terus terpelihara.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Darat dan Udara) Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Ketua-Ketua Jabatan serta kenamaan lain.-EDISI UKAS