Sarawak Bersedia Terajui Ekonomi Baharu Berasaskan Teknologi
KUCHING: Sarawak bukan lagi sekadar mengikuti arus ekonomi baharu dunia, malah bersedia menjadi antara penerajunya melalui pembangunan modal insan, kemajuan teknologi dan pengukuhan infrastruktur digital bagi menyokong industri masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak bukan lagi sekadar mengikuti perkembangan ekonomi dunia, sebaliknya telah bersedia untuk menjadi peneraju melalui pembangunan teknologi Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), pendidikan tinggi percuma serta pembangunan ekosistem data berasaskan teknologi angkasa.
“Sarawak bersedia untuk ekonomi baharu. Kita sedang melengkapkan golongan muda, khususnya pelajar, dengan ilmu dan kemahiran bagi menghadapi pembangunan ekonomi yang semakin kompleks,” katanya semasa Majlis Perasmian Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 di sini pada Khamis.
Menurut beliau, pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di universiti milik Sarawak merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan negeri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak turut memiliki potensi besar sebagai hab Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) berikutan kewujudan formasi geologi yang sesuai untuk penyimpanan karbon.
Justeru, katanya, kerajaan negeri telah menggesa Kerajaan Persekutuan mewujudkan rangka perundangan yang komprehensif bagi membolehkan pemindahan karbon dioksida dari negara maju ke Sarawak untuk tujuan penyimpanan secara selamat dan mampan.
Selain memperkukuh pembangunan modal insan dan teknologi hijau, Sarawak juga sedang memperluaskan keupayaan dalam pengurusan data melalui pembangunan teknologi angkasa.
Menurut beliau, kerajaan negeri menyasarkan pelancaran satelit Sarawak ke orbit bumi rendah menjelang tahun 2030 bagi membolehkan data diperoleh secara langsung untuk menyokong perancangan pembangunan, penyelidikan serta kemajuan teknologi.
“Malah, kita sedang membuat persiapan untuk memiliki sistem data sendiri yang diperoleh melalui teknologi awan termasuk penggunaan teknologi orbit rendah bumi untuk melancarkan Satelit Sarawak sendiri menjelang tahun 2030.
“Dengan itu, kita dapat memperoleh data yang tepat daripada sistem awan, sekali gus membolehkan data tersebut dimanfaatkan bagi memacu pembangunan serta kemajuan Sarawak,” katanya.-EDISI UKAS