Empat Sekolah Menengah Samarahan Bergabung Sasarkan PNGK 4.00 STPM 2027
KOTA SAMARAHAN: Pelajar Tingkatan Enam daripada empat sekolah menengah di Samarahan digerakkan menerusi Program 4.00: Ruby Elite Siri 1 STPM 2027 bagi memperkukuh persediaan akademik dan menyasarkan pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan itu.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, program berkenaan memberi penekanan kepada pembinaan kecemerlangan akademik, disiplin dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
“Teruskan mengejar keputusan PNGK 4.00 dalam STPM. Letakkan sasaran yang tinggi, susun strategi pembelajaran dengan baik dan berikan usaha terbaik untuk mencapainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program 4.00: Ruby Elite Siri 1 STPM 2027 di Auditorium INFRA, di sini pada Ahad.
Menurutnya, kejayaan akademik tidak boleh bergantung kepada usaha pada saat akhir, sebaliknya memerlukan persediaan konsisten, latihan berterusan serta kesediaan pelajar mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan dalam setiap mata pelajaran.
Beliau turut mengingatkan bahawa kecemerlangan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian PNGK 4.00, tetapi turut merangkumi pembentukan disiplin, integriti dan kesungguhan dalam diri setiap pelajar.
Jelasnya, sasaran 4.00 perlu disertai disiplin untuk terus belajar tanpa perlu diingatkan, integriti dalam setiap tindakan serta kesungguhan untuk berusaha walaupun hasilnya belum kelihatan.
Program itu melibatkan pelajar daripada SMK Kota Samarahan, SMK Asajaya, SMK Muara Tuang dan SMK Wira Penrissen yang disatukan menerusi aspirasi kecemerlangan STPM 2027.
Selain persediaan akademik, program berkenaan turut menekankan perkongsian ilmu dan sokongan sesama pelajar sebagai usaha membina persekitaran pembelajaran yang saling membantu dalam mencapai sasaran ditetapkan. -EDISI UKAS