Pengurusan Kewangan Bijak Asas Bina Keluarga Sejahtera
KUCHING: Pengurusan kewangan secara berhemah dan perancangan perbelanjaan mengikut kemampuan menjadi antara asas penting dalam membina keluarga yang stabil, khususnya ketika berdepan peningkatan kos sara hidup dan komitmen kewangan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, setiap keluarga perlu bijak menyusun bajet isi rumah berdasarkan kemampuan dan pendapatan semasa, selain mengawal perbelanjaan, mengurus hutang serta menyediakan simpanan bagi keperluan masa hadapan.
“Keluarga sejahtera bukan diukur berdasarkan pendapatan tinggi atau kekayaan semata-mata, sebaliknya kemampuan mengurus rezeki dengan berhemah, memenuhi keperluan bersama serta menjalani kehidupan dengan penuh tanggungjawab, kasih sayang dan keberkatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Keluarga Sejahtera: Bijak Urus Kewangan sempena Program Dakwah Negara 2026 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Auditorium SABATI, di sini pada Ahad.
Tambahnya, tekanan kewangan boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga, justeru pasangan suami isteri perlu membudayakan perbincangan secara terbuka, merancang perbelanjaan mengikut kemampuan serta mencari penyelesaian bersama apabila berhadapan kesukaran kewangan.
Mengulas lanjut, Dato Sri Nancy merujuk kajian Universiti Sains Islam Malaysia pada 2018 melibatkan 278 individu yang baru berkahwin, yang mendapati tekanan kewangan dan amalan pengurusan kewangan mempunyai hubungan signifikan dengan kepuasan serta kestabilan perkahwinan.
Selain itu katanya, Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2021 turut mengenal pasti krisis kewangan, masalah komunikasi dan campur tangan keluarga sebagai antara pencetus utama konflik dalam kalangan pasangan muda.
Dari perspektif Islam, beliau menjelaskan bahawa pengurusan kewangan bukan sekadar melibatkan soal pendapatan dan perbelanjaan, malah berkait rapat dengan amanah, kesederhanaan serta keberkatan rezeki.
“Usaha memperkukuh institusi keluarga memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk suami dan isteri yang perlu saling mempercayai, ibu bapa sebagai teladan kepada anak-anak serta masyarakat yang sentiasa memberikan sokongan kepada keluarga yang berhadapan dengan kesukaran,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS