Tangki Takungan Matang Tambah Kapasiti Simpanan Air 75 Juta Liter
KUCHING: Pembinaan tiga tangki takungan air baharu di Matang dengan kapasiti keseluruhan 75 juta liter menjadi antara usaha meningkatkan keupayaan penyimpanan dan pengagihan bekalan air terawat ke kawasan utara Kuching yang berdepan peningkatan permintaan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek yang dilaksanakan Sarawak Water itu merangkumi dua tangki takungan aras pertengahan berkapasiti 33 juta liter setiap satu serta sebuah tangki aras tinggi berkapasiti sembilan juta liter, selain kerja menaik taraf sistem pam penggalak dan pemasangan saluran paip.
“Pmbinaan tangki aras pertengahan kini mencapai kemajuan fizikal 64.5 peratus, mendahului jadual, manakala tangki aras tinggi mencatatkan kemajuan 31 peratus.
“Projek berkenaan penting bagi meningkatkan kapasiti simpanan air terawat untuk memenuhi keperluan kawasan Petra Jaya, Samariang, Bako, Santubong, Rambungan, Sampadi, Stoh, FAC Matang serta sebahagian kawasan Samajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media susulan lawatan beliau ke tapak projek pembinaan tangki takungan air dan kerja-kerja berkaitan, di sini pada Ahad.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu liputan bekalan air keseluruhan Sarawak kini mencapai 86.1 peratus, manakala liputan di kawasan luar bandar meningkat kepada 72 peratus hasil pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur bekalan air.
“Bagi memperluas akses dan meningkatkan keterjaminan bekalan air, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM6.46 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) dan ‘Alternative Funding’ untuk melaksanakan 361 projek bekalan air di seluruh negeri.
“Daripada jumlah itu, 338 projek atau 94 peratus telah siap atau sedang dalam pembinaan, termasuk peruntukan RM662.7 juta bagi pelaksanaan projek sepanjang 2026,” menurut kenyataan itu lagi.
Usaha berkenaan turut disokong Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak yang merangkumi pembinaan serta naik taraf 32 loji rawatan air utama dan pembangunan rangkaian saluran paip grid sepanjang 2,934 kilometer dari Wilayah Selatan hingga Wilayah Utara.
Bagi kawasan pedalaman yang berada di luar liputan sistem grid, Program Sarawak Alternative Water Supply (SAWAS) telah memberi manfaat kepada kira-kira 2,600 isi rumah di 79 kampung dan rumah panjang.
Program itu akan diperluaskan secara berperingkat kepada kira-kira 1,300 lagi kampung dan rumah panjang, manakala pelaksanaan Fasa 3 di Bahagian Sarikei kini berada pada peringkat awal.
Selain meningkatkan kapasiti bekalan, Dato Sri Julaihi mendedahkan bahawa kerajaan negeri turut melaksanakan program penggantian dan naik taraf paip air lama serta uzur sepanjang 2,740 kilometer dengan peruntukan RM1.1 bilion bagi mengurangkan kehilangan air tidak berhasil (NRW).
“Setakat ini, 44 projek telah siap, 38 projek sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan, manakala baki 140 projek masih di peringkat prakontrak dan disasarkan memulakan pembinaan menjelang suku kedua 2027,” katanya. -EDISI UKAS