Ranting Sadong Jaya Ulu Juara Karnival Futsal PBB Sadong Jaya
SADONG JAYA: Ranting Sadong Jaya Ulu mengungguli kategori terbuka Karnival Futsal Antara Ranting Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sadong Jaya selepas menewaskan pencabar lain untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM700, trofi, medal dan Piala Pusingan.
Sementara itu, Ranting Pelandok B menduduki tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM500, manakala Ranting Jaei di tempat ketiga menerima RM300 dan Ranting Jemukan di tempat keempat membawa pulang RM200.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo hadir merasmikan program serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada majlis penangguhan karnival di Gelanggang Futsal Sadong Jaya Ulu, pada Khamis.
Bagi kategori kanak-kanak bawah 12 tahun, Ranting Jaei muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan medal, diikuti Ranting Semera Hilir A di tempat kedua yang menerima RM200.
Tempat ketiga bersama pula dimenangi Ranting Semera Hilir B dan Ranting Semera Lot Baru, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM150 serta medal.
Secara keseluruhan, karnival itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM2,500 bagi kedua-dua kategori.
Selain memberi peluang kepada peserta menunjukkan kemampuan dalam sukan futsal, penganjuran karnival itu turut bertujuan mencungkil bakat baharu, memupuk semangat kesukanan serta menggalakkan interaksi dan kerjasama antara ranting di kawasan DUN Sadong Jaya. -EDISI UKAS