ECCE Inklusif Buka Peluang Pendidikan Awal Kepada Kanak-Kanak Berkeperluan Khas
KUCHING: Pendekatan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak (ECCE) secara inklusif di Sarawak terus diperluas bagi memastikan kanak-kanak berkeperluan khas mendapat peluang mengikuti pembelajaran bersama rakan sebaya serta menerima sokongan perkembangan yang bersesuaian sejak peringkat awal.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, enam tahun pertama kehidupan merupakan tempoh kritikal yang mempengaruhi perkembangan otak, emosi, bahasa, kemahiran sosial, pembelajaran dan pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak.
“Pembangunan awal kanak-kanak bukan sekadar menyediakan tempat untuk belajar, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang dalam melahirkan generasi yang sihat, berilmu, berkeyakinan dan mampu menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach Kesedaran ‘Early Childhood Care and Education’ (ECCE) Inklusif Siri 2/2026, di sini pada Ahad.
Menurutnya, SeDidik kini mengendalikan 110 pusat yang menyediakan perkhidmatan kepada 3,050 kanak-kanak dengan sokongan 180 pendidik berkelulusan Diploma dalam bidang ECCE.
Selaras dengan aspirasi ‘No Child Left Behind’, SeDidik turut melaksanakan dasar pintu terbuka atau ‘Open Door Policy’ bagi membolehkan kanak-kanak berkeperluan khas mengikuti pembelajaran bersama rakan sebaya dalam persekitaran yang inklusif.
Sejak 2020, seramai 851 kanak-kanak berkeperluan khas telah menerima manfaat daripada pendekatan tersebut, manakala 486 warga kerja SeDidik diperkasakan melalui latihan berkaitan pendidikan khas.
Selain itu, beliau memberitahu kerjasama bersama TOY8 telah memanfaatkan seramai 356 pendidik dan pembantu pendidik SeDidik apabila mereka dilatih menggunakan sistem saringan digital, manakala 2,198 kanak-kanak menjalani saringan awal bagi mengenal pasti keperluan perkembangan masing-masing. -EDISI UKAS