Peranan Media Sarawak Lebih Besar Daripada Sekadar Menyampai Berita
KUCHING: Peranan media di Sarawak jauh lebih besar daripada sekadar menyampaikan berita, sebaliknya menjadi jambatan yang menghubungkan pelbagai kaum, komuniti bandar dan luar bandar serta membantu rakyat memahami agenda pembangunan negeri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kedudukan Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan suku kaum menjadikan media memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan serta menyampaikan maklumat secara lebih inklusif.
"Media menjadi jambatan yang menghubungkan antara kaum serta antara masyarakat bandar dan luar bandar, mengangkat suara komuniti, memperkenalkan budaya serta menyampaikan agenda pembangunan secara lebih inklusif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026, di sini pada Khamis.
Dalam konteks pembangunan wilayah, beliau memberitahu, media juga memainkan peranan penting dalam menjelaskan pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan termasuk projek infrastruktur, peralihan tenaga, ekonomi hijau, keselamatan tenaga, transformasi digital serta usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Datuk Amar Fadillah menjelaskan, penyampaian maklumat yang tepat dan mudah difahami akan membantu rakyat memahami dasar kerajaan, sekali gus menggalakkan penyertaan mereka dalam merealisasikan agenda pembangunan
negeri.
Sehubungan itu, beliau berharap pengamal media akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang sahih, membina dan inklusif demi kemajuan Sarawak. -EDISI UKAS