Generasi Muda Harapan Untuk Kembalikan Chupak Sebagai ‘Rice Bowl’ Sarawak
SERIAN: Penglibatan generasi muda dalam pertanian moden menjadi kunci utama untuk mengembalikan kawasan Skuduk-Chupak sebagai antara jelapang padi utama Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, suatu ketika dahulu kawasan Skuduk, Chupak, Sungai Riset dan Panchor terkenal sebagai ‘rice bowl’ atau jelapang padi Sarawak, namun perubahan gaya hidup serta proses pemodenan menyebabkan semakin ramai anak muda tidak lagi berminat mengusahakan sawah padi, sekali gus mengakibatkan sebahagian besar kawasan tersebut terbiar.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak telah membelanjakan peruntukan yang besar sejak dahulu bagi membangunkan sistem pengairan di kawasan berkenaan, namun usaha itu perlu disokong dengan penyertaan masyarakat, khususnya golongan muda, bagi menghidupkan semula sektor penanaman padi.
"Jika kita menggunakan pendekatan kampung atau cara lama, sudah tentu ia tidak berjaya kerana kita mahu membangunkan kawasan ini secara lebih menyeluruh dan berskala besar.
“Malah, di Skim Skuduk-Chupak, bekalan air yang untuk tujuan pengairan adalah jauh lebih baik berbanding di banyak kawasan lain,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pecah Tanah Membina Baharu Jalan Alternatif Kampung Sungai Riset, Kampung Skuduk, Kampung Plaman Payang dan Kampung Chupak, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, pendekatan baharu yang dicadangkan bukan lagi berasaskan penanaman secara tradisional, sebaliknya melalui pembangunan ladang padi berskala besar seluas kira-kira 1,000 ekar yang meliputi Skuduk, Chupak sehingga Kampung Plaman Nyabet dan Kampung Taee di samping menggunakan varieti padi hibrid yang mampu meningkatkan hasil dan pulangan kepada pengusaha.
Bagi memastikan agenda itu berjaya, beliau berkata Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dengan kerjasama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) telah melaksanakan program melatih lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bidang pertanian moden di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kedah.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu, peserta akan mengikuti latihan yang membawa kepada Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3, di samping mempelajari teknik penanaman padi moden menggunakan jentera, dron dan teknologi pertanian pintar.
Beliau turut menggesa lebih ramai belia yang berminat supaya menyertai program latihan tersebut bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu menerajui transformasi sektor penanaman padi di Sarawak. -EDISI UKAS