Jalan ke SK Batang Lassa Antara Keutamaan Pembangunan DUN Daro
DARO: Cadangan pembinaan jalan menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Lassa menjadi antara keutamaan yang diharapkan dapat dipertimbangkan Kerajaan Sarawak bagi melengkapkan rangkaian jalan di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, projek tersebut penting kerana bukan sahaja menghubungkan beberapa rumah panjang, malah menyediakan akses yang lebih mudah ke sekolah baharu yang sedang dibina di kawasan berkenaan.
"Projek ini dijangka memberi impak besar kepada penduduk apabila rangkaian jalan itu siap sepenuhnya," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat DUN Daro di Tapak Pesta Daro, pada Jumaat.
Majlis tersebut turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut Dr Safiee, keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan luar bandar terus diterjemahkan menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur, kemudahan asas dan pembangunan sosioekonomi yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Katanya, antara projek utama yang diumumkan Premier Sarawak ketika lawatan ke Daro pada 2017 ialah pembinaan Jambatan Batang Lassa dan Masjid Daro yang kini telah siap dan dinikmati penduduk.
Dalam pada itu, beliau berkongsi, kejayaan terbesar yang dinikmati penduduk Daro adalah apabila keseluruhan kawasan DUN Daro kini menikmati bekalan elektrik.
Katanya lagi, sebelum ini hanya beberapa kawasan menerima bekalan elektrik, manakala kebanyakan rumah panjang masih bergantung kepada generator.
Dr Safiee memberitahu, pembangunan pesat di Daro turut membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk menerusi pelaksanaan beberapa projek di daerah ini.
"Semua pembangunan ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa mendengar suara rakyat dan berusaha memenuhi keperluan mereka.
"Dengan kepimpinan Premier Sarawak, Daro akan menjadi sebuah kawasan luar bandar yang moden, maju dan mempunyai ekonomi yang lebih dinamik," tambahnya.
Hadir sama semasa maklis berkenaan ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datu Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan yang mewakili Setiausaha Kerajaan Sarawak dan Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi.-EDISI UKAS