Teknologi Moden Pacu Produktiviti Pesawah Di Balingian
BALINGIAN: Pengenalan teknologi moden dalam sektor penanaman padi terus memacu aktiviti pesawah sekali gus mampu meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh serta memperkasa golongan petani, khususnya di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, usaha memperkenalkan jentera dan mesin moden kepada petani merupakan antara inisiatif penting kerajaan untuk memodenkan sektor pertanian sekali gus meningkatkan daya saing industri padi di Sarawak.
"Penggunaan teknologi bukan sahaja memudahkan urusan penanaman dan pengurusan sawah, malah mampu meningkatkan kecekapan kerja serta memberikan pulangan yang lebih baik kepada para petani," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi Demonstrasi Uji Guna Jentera Penanaman Padi di Rumah Ulin, Sungai Nawan, Kuala Balingian, pada Khamis.
Sehubungan itu, katanya, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkenalkan teknologi moden.
Jelasnya, ia bagi memperkasa sektor pertanian, selain membantu meningkatkan hasil pengeluaran padi, memperkukuh keselamatan makanan dan menambah pendapatan petani.
Dalam program tersebut, penduduk Rumah Ulin turut mengikuti kursus serta latihan yang dikendalikan Jabatan Pertanian Sarawak merangkumi penerangan secara teori dan demonstrasi praktikal mengenai pengendalian, penggunaan serta penyelenggaraan jentera penanaman padi.
Program berkenaan bertujuan memastikan petani memiliki pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi untuk mengendalikan jentera secara berkesan dan selamat, sekali gus memaksimumkan manfaat teknologi yang diperkenalkan. -EDISI UKAS