Sarawak Perkukuh Agenda EODD, Tinjau Amalan Terbaik PBT Semenanjung
MELAKA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda ‘Ease of Doing Business’ (EODB) menerusi lawatan amalan terbaik ke tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) di Semenanjung Malaysia sebagai usaha mempercepat dan menambah baik proses memulakan perniagaan di negeri ini.
Delegasi Kerajaan Sarawak mengadakan sesi libat urus dan lawatan sambil belajar ke Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dari 15 hingga 17 Julai bagi meninjau pendekatan yang berjaya dilaksanakan dalam mempercepatkan proses kelulusan, memudah cara urusan pelanggan serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee yang mengetuai delegasi berkenaan berkata, lawatan itu menjadi platform penting untuk mempelajari faktor kejayaan dan pendekatan pelaksanaan yang diguna pakai oleh PBT terbabit, termasuk penggunaan sistem digital, penyelarasan antara jabatan teknikal serta mekanisme pemantauan yang menyokong penyampaian perkhidmatan lebih pantas dan cekap.
Jelas beliau, usaha tersebut selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem mesra perniagaan menerusi penambahbaikan berterusan terhadap proses dan penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau berkata demikian menerusi siaran media Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), pada Jumaat.
Tambah beliau lagi, beliau, Kerajaan Sarawak kini sedang melaksanakan Projek Rintis EODB – Starting A Business di Sibu menerusi pendekatan One-Facilitation Centre dan Risk-Based Approach bagi memudahkan proses memulakan perniagaan.
Katanya, fasa kedua projek itu akan memberi tumpuan kepada penggunaan tandatangan digital sebelum diperluaskan kepada pelaksanaan perkhidmatan secara end-to-end, sekali gus menyasarkan tempoh pemprosesan yang lebih singkat dan efisien.
Beliau berkata hasil lawatan itu turut dijangka memperkukuh kefahaman agensi kerajaan negeri dalam aspek pengurusan perubahan (change management), transformasi proses kerja, pendigitalan perkhidmatan serta kolaborasi rentas agensi bagi menyokong pelaksanaan agenda EODB secara lebih menyeluruh.
Lawatan itu melibatkan penyertaan pelbagai agensi negeri termasuk STIU, Unit Pentadbiran, Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak, Perbadanan Produktiviti Malaysia Wilayah Sarawak, Jabatan Perbendaharaan Bahagian Sibu, Pejabat Daerah Sibu, Pejabat Daerah Kanowit, Majlis Perbandaran Sibu, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu serta Majlis Daerah Kanowit.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, pantas dan mesra pelabur, sekali gus meningkatkan daya saing negeri sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan. -EDISI UKAS