Premier Sarawak Rasmi Masjid Al-Umran, Perkukuh Syiar Islam di Daro
DARO: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyempurnakan perasmian Masjid Al-Umran, Kampung Tebaang di sini pada Jumaat.
Masjid yang dibina dengan kos kira-kira RM5 juta itu mampu menampung sehingga 1,000 jemaah sekali gus menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa kepada penduduk setempat.
Sebelum majlis perasmian, Premier Sarawak bersama dif kenamaan turut menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Hadir sama ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak yang mewakili Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad.
Pembinaan Masjid Al-Umran mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan institusi Islam di samping menyediakan kemudahan ibadah yang lebih moden, selesa dan kondusif kepada masyarakat.
Selain menjadi tempat menunaikan ibadah, masjid tersebut dijangka berperanan sebagai pusat penyatuan ummah menerusi pelaksanaan pelbagai program keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan di Kampung Tebaang.
Kemudahan baharu itu juga diharap dapat terus mengimarahkan syiar Islam melalui penganjuran kelas pengajian al-Quran, ceramah agama, program ilmu serta aktiviti kebajikan yang melibatkan semua lapisan masyarakat.
Pembinaan masjid berkenaan turut selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan fizikal bergerak seiring dengan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rohani rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Perasmian Masjid Al-Umran sekali gus melambangkan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan awam yang berkualiti demi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat di Daro. -EDISI UKAS