Peranan Wartawan Beretika Tidak Boleh Digantikan Oleh Algoritma
KUCHING: Peranan wartawan yang beretika tidak boleh digantikan oleh algoritma meskipun industri media kini berdepan perkembangan pesat teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, teknologi mampu membantu mempercepatkan penyampaian maklumat namun nilai kewartawanan yang berasaskan etika, integriti dan pertimbangan manusia tetap menjadi asas kepada penyampaian berita yang tepat dan dipercayai.
Tambahnya, model AI menggunakan artikel media tanpa kebenaran bagi melatih sistem mereka turut menjejaskan kelestarian industri penciptaan kandungan di samping teknologi deepfake berasaskan AI kini mampu memanipulasi video dan audio secara sangat realistik sehingga mengaburkan sempadan antara kebenaran dengan penipuan.
"Sehubungan itu, sokongan padu daripada kerajaan dan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan pengamal media kita terus cekal berdiri sebagai benteng kebenaran demi keharmonian negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof di sebuah hotel terkemuka, di sini pada Khamis.
Datuk Abdullah menambah, lambakan wartawan warga dan jurnalis dalam kalangan netizen turut mewujudkan persaingan maklumat yang menuntut media rasmi terus mempertahankan kredibiliti serta menangkis laporan yang hanya mengejar sensasi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, media memikul tanggungjawab sosial yang amat besar untuk mengelakkan laporan berbentuk sensasi di mana mereka terus menjadi suara rakyat yang menyalurkan maklum balas dan aspirasi mereka terus kepada pihak berkuasa.
Beliau turut menggesa agar pengamal media wajib menjauhi naratif yang menyentuh sensitiviti perkauman atau berbaur kebencian demi untuk mengejar tarikan klik tanpa usul periksa yang mampu menimbulkan keresahan dan panik dalam kalangan masyarakat.
"Sebaliknya, laporan harus sentiasa bersifat membina, mengekalkan keharmonian kaum dan menyatupadukan rakyat, bukannya memecahbelahkan mereka," katanya. -EDISI
UKAS