Organisasi Media Perlu Labur Dalam Pembangunan Modal Insan
KUCHING: Organisasi media disaran terus melabur dalam pembangunan modal insan bagi memastikan pengamal media memiliki pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk kekal relevan serta berdaya saing dalam era digital.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, wartawan masa kini bukan sahaja perlu mahir menulis dan membuat liputan, malah perlu menguasai analitik data, keselamatan digital, penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika, semakan fakta, kewartawanan data serta pelaporan rentas platform.
"Pelaburan terhadap bakat muda dan latihan berterusan merupakan kunci untuk memastikan industri media terus relevan dan berdaya saing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) turut memainkan peranan membantu dan menyokong rakan-rakan media, khususnya dalam memperkukuh pengetahuan pengamal media terhadap bidang-bidang khusus yang dilaporkan.
Katanya, wartawan dan jurnalis perlu dilengkapi dengan pengetahuan mendalam mengenai sesuatu topik atau subjek bagi memastikan penyampaian berita lebih tepat, mudah difahami dan berkesan.
Menurutnya, dalam dunia digital masa kini, pengamal media juga perlu berupaya menjadi 'influencer' yang mampu memudahkan penyampaian maklumat serta menjelaskan isu-isu penting kepada rakyat.
"Apatah lagi apabila melibatkan bidang-bidang tertentu terutamanya melibatkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, sudah pasti ekonomi digital, ekonomi hijau, keterjaminan bekalan tenaga serta pelbagai bidang baharu perlu disampaikan dan difahami oleh rakyat supaya kita bersama-sama dapat mendukung agenda pembangunan negeri dan negara," jelasnya.
Pada kemuncak majlis, Datuk Amar Fadillah turut menyampaikan 12 pemenang Anugerah Apresiasi Khas Premier Sarawak.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Ketua-ketua Jabatan serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS