TYT Sarawak & Isteri Hadiri Majlis Santapan Sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Santapan sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah yang ke-80 pada Khamis.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Mengiringi Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama isteri, Dato Dayang Morliah Awang Daud.
Majlis yang berlangsung di Dewan Persantapan Diraja, Istana Nurul Iman itu turut dihadiri kerabat diraja Brunei, pembesar negara, kenamaan luar negara, wakil kerajaan serta anggota kor diplomatik.
Keberangkatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan isteri mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan diplomatik, persahabatan serta ikatan sejarah yang sekian lama terjalin antara Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.-EDISI UKAS