RM1.9 Juta Pampasan Diserah, Jalan Ke Rumah Sang Bakal Ubah Landskap Ekonomi Penduduk
JULAU: Seramai 136 penduduk menerima cek pampasan berjumlah RM1.9 juta bagi projek pembinaan Jalan Ke Rumah Sang, Rantau Chirey yang menelan kos keseluruhan RM20 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, pembayaran pampasan tersebut merupakan langkah penting bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut jadual.
Menurut beliau, projek yang dibiayai menerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) itu dijangka siap sepenuhnya pada 11 Ogos tahun hadapan yang bakal memberi manfaat kepada penduduk dari 12 rumah panjang di kawasan Ulu Entaih yang selama ini bergantung kepada laluan yang kurang sempurna.
“Jalan ini bukan sekadar laluan keluar masuk, malah akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat setempat.
“Ia akan membuka lebih banyak peluang ekonomi, memudahkan urusan harian penduduk serta meningkatkan akses kepada pelbagai kemudahan asas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Jalan Ke Rumah Sang, Rantau Chirey, Ulu Entabai, di sini, pada Khamis.
Dato Rolland menjelaskan, pelaksanaan projek-projek tersebut bakal mengubah wajah kawasan pedalaman yang sebelum ini bergantung kepada jalan tanah merah.
Katanya, dalam tempoh beberapa tahun akan datang, rakyat akan menikmati kemudahan jalan berturap yang lebih selesa dan selamat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang terus memberi keutamaan kepada pembangunan kawasan luar bandar.
Beliau yakin pelaksanaan projek-projek tersebut akan membolehkan penduduk di kawasan Meluan menikmati rangkaian jalan berturap yang lebih baik dalam tempoh beberapa tahun akan datang.-EDISI UKAS