Sarawak Seimbang Bangunkan Infrastruktur & Modal Insan
JULAU: Kerajaan Sarawak bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal dan infrastruktur, malah turut mengutamakan pembangunan modal insan melalui pelbagai inisiatif pendidikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, kerajaan negeri memberi peruntukan yang besar bagi memperkasa pembangunan insan khususnya dalam bidang pendidikan dan antara inisiatif yang mendapat perhatian ialah pelaksanaan pendidikan tinggi percuma yang bakal memberi manfaat kepada anak-anak Sarawak.
Beliau berkata, langkah tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat peluang pendidikan yang lebih baik tanpa dibebani kos pengajian.
“Kerajaan Sarawak melihat pembangunan insan sebagai pelaburan jangka panjang yang penting untuk masa depan negeri ini.
“Selain membina jalan dan infrastruktur, kerajaan turut memastikan generasi muda mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Jalan Ke Rumah Sang, Rantau Chirey, Ulu Entabai, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, Sarawak kini mempunyai beberapa institusi pengajian tinggi yang mampu melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi antaranya ialah Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Kolej Universiti i-CATS.
Tambahnya, bantuan pendidikan yang disediakan akan membantu lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata inisiatif pendidikan percuma itu dijangka melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi dan berteraskan ekonomi digital.
Tambahnya, bantuan pendidikan yang disediakan akan memberi peluang kepada lebih ramai anak Sarawak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekali gus meningkatkan taraf hidup serta daya saing generasi muda.-EDISI UKAS