Teknologi Membran Berpotensi Percepat Bekalan Air Bersih Ke Pedalaman
JULAU: Penggunaan teknologi rawatan air moden seperti sistem membran dilihat berpotensi mempercepat penyediaan bekalan air bersih ke kawasan pedalaman di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, teknologi tersebut mampu memproses sumber air tempatan khususnya air sungai sebelum disalurkan terus kepada penduduk.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan lebih praktikal berbanding menunggu sambungan sistem grid bekalan air konvensional yang memerlukan kos tinggi serta tempoh pelaksanaan yang panjang.
Katanya, teknologi itu antara yang dipamerkan semasa Pameran dan Persidangan Air dan Sisa Kumbahan Antarabangsa Borneo (BIWWEC) yang berlangsung di Kuching baru-baru ini.
“Saya melihat teknologi ini mampu membantu penduduk rumah panjang menikmati bekalan air bersih dengan lebih cepat dan berkesan.
“Selain itu, kos pelaksanaannya juga berpotensi lebih rendah berbanding pembinaan sistem bekalan air yang memerlukan paip dalam jarak yang jauh,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah di Rumah Sang, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, penggunaan teknologi baharu tersebut boleh menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan memperluaskan liputan bekalan air bersih ke seluruh Sarawak termasuk Meluan.
Tambahnya, akses kepada bekalan air bersih yang berkualiti amat penting dalam meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau juga berharap teknologi berkenaan dapat dipertimbangkan secara serius oleh pihak berkaitan bagi mempercepat pembangunan kemudahan asas di kawasan luar bandar.-EDISI UKAS