Tambang Tetap AirBorneo Bakal Ringankan Beban Rakyat Sarawak
JULAU: Inisiatif tambang tetap yang diperkenalkan menerusi Syarikat Penerbangan AirBorneo disifatkan sebagai langkah strategik dalam membantu meringankan kos perjalanan rakyat Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, pendekatan itu mendapat sambutan positif kerana menawarkan kadar tambang yang konsisten tanpa dipengaruhi musim perayaan atau cuti sekolah.
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan idea yang memberi manfaat besar kepada rakyat terutama mereka yang kerap berulang alik antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Katanya, tambang tetap berkenaan turut membantu pelajar yang melanjutkan pengajian di luar Sarawak untuk merancang perjalanan pulang ke kampung halaman.
“Dengan tambang yang statik, rakyat tidak perlu lagi berdepan kenaikan harga tiket yang mendadak ketika musim perayaan.
“Ini berbeza dengan situasi sebelum ini apabila harga tiket penerbangan boleh mencecah ribuan ringgit,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek di Rumah Sang, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata AirBorneo bukan sahaja memudahkan pergerakan penumpang malah turut memberi manfaat kepada mereka yang membawa barangan dengan penawaran yang berbeza berbanding dengan syarikat penerbangan lain.
Tambahnya, kemudahan tersebut dijangka menjadi pilihan utama rakyat kerana menawarkan kos perjalanan yang lebih munasabah dan mampu milik.
“Inisiatif bernas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam menangani isu kos sara hidup rakyat,” ujarnya.-EDISI UKAS