MIRI: Pembukaan awal Kenyalang Convention & Exhibition Centre ONE (KCEC ONE) dijangka memperkukuh kedudukan Miri sebagai hab industri Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE), selain merancakkan sektor pelancongan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, KCEC ONE merupakan satu lagi mercu tanda penting dalam pelaksanaan Greater Miri Development Plan yang menyokong aspirasi menjadikan Miri sebuah bandar pintar, berdaya huni dan berhubung di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, kemudahan bertaraf dunia itu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat konvensyen dan pameran, malah akan menjadi hab komuniti yang menganjurkan pelbagai program sepanjang tahun termasuk persidangan, pameran, konsert, acara sukan, program pendidikan, persembahan kebudayaan dan aktiviti kekeluargaan.
“KCEC ONE akan memperkukuhkan kedudukan Miri sebagai destinasi utama industri MICE, merancakkan sektor pelancongan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi limpahan ekonomi kepada hotel, restoran, pengusaha pengangkutan, sektor peruncitan serta perusahaan tempatan,” katanya pada sidang media di Kenyalang Smart City, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengajak orang ramai menyertai Zumba 5.0 – Dance for Sarawak 2026 yang akan berlangsung pada 19 Julai ini bersempena pelancaran awal KCEC ONE dan sambutan Hari Sarawak 2026.
Menurut Dato Sri Lee, program yang memasuki penganjuran kali kelima itu dijangka menghimpunkan lebih 1,000 peserta dan menjadi antara acara kecergasan komuniti terbesar pernah dianjurkan di Miri.
Katanya, program tersebut bukan sekadar menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mengeratkan perpaduan masyarakat serta memupuk semangat kebersamaan.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan KCEC ONE hanyalah permulaan kepada pembangunan menyeluruh Kenyalang Smart City, yang turut merangkumi cadangan Kampus Cawangan Perubatan Universiti Fudan, hospital pengajaran dan institut penyelidikan perubatan bersepadu bagi menjadikan Miri sebagai hab kecemerlangan dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan perubatan dan penyelidikan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Teo Ah King dan Imasa Dinasti Sdn. Bhd. atas komitmen merealisasikan projek berkenaan yang membuktikan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta dalam memacu pembangunan negeri.
Sementara itu, Teo berkata KCEC ONE mampu menampung sehingga 5,000 pengunjung dalam satu-satu acara, sekali gus menjadikannya antara pusat konvensyen terbesar dan paling moden di Sarawak.
Beliau berkata projek itu berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira enam bulan menggunakan khidmat kontraktor serta tenaga kerja tempatan dari Miri yang memenuhi piawaian antarabangsa.
Tambah beliau, sambutan terhadap pembangunan Kenyalang Smart City amat menggalakkan apabila hampir 300 unit kondominium habis dijual, manakala lebih 50 peratus daripada 44 unit rumah kedai telah ditempah sebelum pelancaran rasmi.
Program Dance for Sarawak 5.0 – 1,000-Person Zumba @ KCEC ONE turut menawarkan cabutan bertuah kepada peserta dengan bayaran penyertaan simbolik sebanyak RM8. - EDISI UKAS