Lima Projek RTP Di Batu Danau Catat Kemajuan Memberangsangkan
LIMBANG: Pelaksanaan projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.80 Batu Danau terus dipantau bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual, spesifikasi serta memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang mengetuai lawatan tapak ke beberapa projek RTP di kawasan Lubai, Ukong dan Medamit pada Selasa bagi menilai kemajuan pelaksanaan serta mengenal pasti isu yang memerlukan tindakan segera.
Hasil pemantauan mendapati dua projek telah siap sepenuhnya iaitu pembinaan baharu Jalan Kubur Kampung Long Serangan dan Balai Raya Rumah Stevin di Engkasing, yang kini meningkatkan kemudahan perhubungan serta menyediakan ruang lebih selesa untuk aktiviti kemasyarakatan.
Selain itu, projek Naik Taraf Jalan Simen Kampung Tanjong Riman (Fasa 4) di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dilaporkan mendahului jadual pelaksanaan.
Dua lagi projek iaitu Pembinaan Jalan ke Tanah Perkuburan Merupok di Menuang serta Pembinaan Pembentung di Kampung Tanjong Riman (Fasa 2) pula berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Dalam pada itu, dua projek dikenal pasti mengalami kelewatan pelaksanaan, iaitu Pembinaan Baharu Dewan Kampung Liang Datu (Fasa 1) di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan projek Menyimen Jalan Pejalan Kaki dari Rantau Kurra ke Klinik serta Sekolah Kebangsaan Kuala Medalam di bawah seliaan Majlis Daerah Limbang (MDL).
Sehubungan itu, tindakan intervensi bersama agensi pelaksana dan kontraktor akan dilaksanakan bagi mempercepatkan kemajuan kerja agar projek dapat disiapkan mengikut sasaran tanpa menjejaskan kepentingan penduduk.
Lawatan tersebut turut disertai Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Limbang Ayunni Tamimi, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Limbang Md Sobree Damit, Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang Azaitul Nabilah Suhermanto, Penolong Jurutera Majlis Daerah Limbang, Emellin Henry serta Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Limbang, Nor Annie Shazwanie Yahya.- EDISI UKAS