SG1 Dipilih Varieti Utama Pembangunan Industri Nanas Di Utara Sarawak
MIRI: Varieti Sarawak Gold One (SG1) akan menjadi fokus utama pembangunan industri nanas di Zon Utara Sarawak menerusi pendekatan pembangunan berasaskan zon yang mengambil kira kesesuaian tanah dan potensi setiap kawasan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, pendekatan tersebut merupakan strategi kerajaan untuk memperkukuh industri nanas negeri secara lebih tersusun dan mampan.
Menurut beliau, pembangunan industri nanas di kawasan tengah melibatkan Sibu, Mukah dan Sarikei akan menggunakan gabungan beberapa varieti yang bersesuaian, manakala Zon Selatan akan memberi tumpuan kepada varieti seperti MD2 dan N36.
“Setiap zon mempunyai potensi dan varieti yang sesuai. Di utara kita memberi fokus kepada SG1,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ladang Ning Planters di Tukau, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, pembangunan industri nanas tidak lagi tertumpu kepada aktiviti penanaman semata-mata, sebaliknya merangkumi keseluruhan rantaian nilai termasuk pemprosesan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan, pemasaran serta penggunaan teknologi moden.
Katanya, pendekatan bersepadu itu diyakini mampu meningkatkan daya saing industri nanas Sarawak di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada petani dan usahawan tempatan.
Menurut beliau, pembangunan varieti SG1 turut memerlukan sokongan berterusan melalui penyelidikan, latihan serta bimbingan kepada petani bagi memastikan pengeluaran yang berkualiti dan konsisten.
Dalam masa sama, beliau berkata pembangunan industri nanas secara moden berpotensi menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian kerana ia kini berkembang sebagai sebuah industri yang berasaskan teknologi dan berorientasikan perniagaan.
Terdahulu, Dato Sri Dr. Stephen Rundi bersama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail mengadakan lawatan ke kilang pemprosesan nanas terbesar di Malaysia bernilai RM70 juta yang dijadualkan mula beroperasi pada penghujung tahun ini.
Beliau berkata, kilang berkapasiti 9,750 tan itu mampu memproses kira-kira 11 tan nanas sejam, sekali gus memerlukan bekalan bahan mentah yang mencukupi dan konsisten.
Katanya, pembangunan kilang tersebut akan menyokong pengeluaran SG1 menerusi pelaksanaan konsep ladang kontrak serta kerjasama strategik bersama pekebun kecil.
Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Sarawak Mohd Nazaiful Azdi Rahman, Pengarah Ning Planters Dato’ Yap Foot Loy dan Pegawai Pertanian Bahagian Miri Chong Mui Sia.- EDISI UKAS