ADUN Muara Tuang Santuni Mangsa Kebakaran Kampung Niup
KOTA SAMARAHAN: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Niup bagi menyampaikan sumbangan wang ehsan serta memberikan sokongan moral kepada keluarga yang terjejas dalam kejadian kebakaran.
Lawatan pada Khamis itu bertujuan menyantuni mangsa selain memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian selepas kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka.
Dalam kunjungan tersebut, Dato’ Idris menzahirkan rasa simpati terhadap musibah yang menimpa mangsa serta berharap mereka terus tabah dan cekal menghadapi dugaan.
Beliau turut mendoakan agar segala urusan mangsa dipermudahkan sepanjang proses pemulihan.
Terdahulu, sebuah rumah satu tingkat yang didiami empat keluarga melibatkan keseluruhan 16 penghuni musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 4.19 pagi Khamis.
Kejadian itu turut mengakibatkan sebuah rumah berhampiran mengalami kerosakan kecil apabila kira-kira lima peratus bahagian bumbungnya terkena bahang api.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dengan bantuan BBP Tabuan Jaya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Setibanya di lokasi pada jam 4.46 pagi, pasukan bomba mendapati rumah berkenaan sedang marak terbakar sebelum operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran salur bantu mula dan tiga nozel.
Api berjaya dikawal pada jam 5.03 pagi, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.20 pagi selepas kerja-kerja pemeriksaan dan overhaul dilaksanakan bagi memastikan kawasan benar-benar selamat.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut, sementara punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.-EDISI UKAS