Muzium Warisan Sri Aman Hidupkan Semula Sejarah Kubu Alice, Tarikan Ikonik Bandar Simanggang
SRI AMAN: Muzium Warisan Sri Aman yang beroperasi di bangunan bersejarah Kubu Alice terus menjadi antara destinasi pelancongan warisan utama di Sarawak apabila menampilkan sejarah pemerintahan Rajah Brooke serta perkembangan awal Bandar Simanggang dalam suasana yang autentik.
Kubu Alice yang terletak di atas bukit menghadap Sungai Batang Lupar pada asalnya dibina selepas pentadbiran Rajah Brooke memindahkan Kubu James dari Nanga Skrang ke Sri Aman pada tahun 1864 berikutan kawasan asal sering dilanda banjir.
Sejak itu, Kubu Alice bukan sahaja berfungsi sebagai kubu pertahanan bagi mengawal keselamatan laluan sungai dan mengekang kegiatan lanun, malah turut menjadi pusat pentadbiran yang menempatkan mahkamah, perbendaharaan, dispensari serta urusan perkapalan ketika era pemerintahan Brooke dan zaman kolonial.
Menyedari nilai sejarah yang tinggi, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 memperuntukkan RM5 juta bagi melaksanakan kerja pemuliharaan dan menaik taraf bangunan tersebut.
Projek yang dikendalikan oleh arkitek Mike Boon daripada JFN Sdn. Bhd. berjaya mengembalikan rupa asal Kubu Alice sebelum ia dibuka semula sebagai Muzium Warisan Sri Aman.
Kini, muzium berkenaan menampilkan pelbagai koleksi sejarah termasuk dokumentasi mengenai kubu-kubu era Brooke di Sarawak, ruang mahkamah, kamar tidur Rajah Putih Kedua Sarawak Charles Brooke, ruang makan serta pelbagai artifak yang menggambarkan kehidupan pentadbiran pada abad ke-19.
Keaslian reka bentuk bangunan, pencahayaan serta susun atur ruang pameran memberi pengalaman seolah-olah pengunjung kembali ke zaman pemerintahan Rajah Brooke, sekali gus menjadikan muzium itu sebagai medium penting dalam memelihara dan memperkenalkan warisan sejarah Sarawak kepada generasi masa kini.
Selain itu, beberapa laras meriam lama yang masih menghala ke Sungai Batang Lupar serta koleksi perahu tradisional seperti Perahu Perang Iban, Perahu Penjaja Cina dan Perahu Balok Melayu turut dipamerkan sebagai simbol kepelbagaian sejarah serta budaya masyarakat di kawasan itu.
Muzium Warisan Sri Aman dibuka kepada orang ramai secara percuma dari Selasa hingga Jumaat bermula jam 9.00 pagi hingga 4.45 petang, manakala pada Sabtu dan Ahad dari jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang. Muzium ini ditutup pada setiap hari Isnin.
Orang ramai yang berkunjung ke Bandar Sri Aman disaran meluangkan masa mengunjungi Muzium Warisan Sri Aman bagi menelusuri sejarah Kubu Alice serta memahami peranan pentingnya dalam perkembangan awal Bandar Simanggang dan sejarah Sarawak.-EDISI UKAS