LONG LAMA: Inisiatif Kerajaan membawa Program Bantuan MyLesen ke kawasan pedalaman Telang Usan menerima sambutan luar biasa apabila seramai 461 penduduk, majoritinya daripada masyarakat Penan, menyertai kursus bantuan lesen memandu dan ujian bertulis yang diadakan buat julung kalinya di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, sambutan tersebut membuktikan keperluan tinggi masyarakat pedalaman terhadap akses perkhidmatan kerajaan, khususnya peluang memperoleh lesen memandu secara sah tanpa perlu menanggung kos dan kesukaran ke bandar.
Menurut beliau, kesungguhan peserta jelas terpancar apabila ada yang sanggup menunggang motosikal selama dua hari untuk tiba di Long Lama, manakala sebahagian lagi memilih bermalam di kaki lima premis perniagaan bagi memastikan mereka tidak terlepas mengikuti kursus tersebut.
“Sambutan yang diterima membuktikan penduduk pedalaman amat menghargai inisiatif kerajaan yang membawa perkhidmatan terus ke kawasan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Bantuan Lesen Memandu dan Ujian Bertulis Program MyLesen di pekan Long Lama, pada Ahad.
Beliau berkata, komitmen luar biasa yang ditunjukkan peserta turut mendapat pengiktirafan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri yang menyifatkan ia sebagai antara penyertaan paling memberangsangkan bagi program seumpamanya.
Program Bantuan MyLesen yang menawarkan lesen motosikal kelas B2 secara percuma kepada golongan B40 dianjurkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Telang Usan sebagai usaha memperluas penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada komuniti luar bandar.
Dato Dennis berkata, selain membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan lesen memandu yang sah, program tersebut turut meningkatkan kesedaran peserta mengenai undang-undang jalan raya, etika pemanduan serta aspek keselamatan.
Katanya, inisiatif sedemikian akan terus diperkasakan kerana bukan sahaja membuka akses kepada perkhidmatan kerajaan, malah menyokong pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat pedalaman melalui peningkatan mobiliti serta peluang pekerjaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JPJ Cawangan Miri, semua peserta dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.— EDISI UKAS