Dato Paulus Palu Santuni Keluarga Ditimpa Musibah Di Kampung Medait
LIMBANG: Keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang apabila meluangkan masa menziarahi keluarga yang ditimpa musibah kematian di Kampung Medait, pada Selasa.
Kehadiran beliau bertujuan menzahirkan ucapan takziah, memberikan sokongan moral kepada keluarga mendiang serta menyampaikan sumbangan kewangan sebagai tanda keprihatinan dalam membantu meringankan beban yang ditanggung.
Menurut beliau, amalan menyantuni masyarakat, khususnya ketika berdepan saat-saat sukar, merupakan tanggungjawab yang perlu terus diperkasakan bagi memastikan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat sentiasa terpelihara.
Beliau turut meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan ahli keluarga serta penduduk kampung yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.
Sumbangan yang disampaikan diharap dapat membantu meringankan sedikit beban keluarga selain menjadi lambang solidariti dan sokongan masyarakat ketika menghadapi ujian.
Program ziarah tersebut mencerminkan komitmen berterusan Dato Paulus dalam mendekati masyarakat serta memastikan aspek kebajikan penduduk di kawasan Batu Danau terus diberi perhatian.— EDISI UKAS