Datuk Abdullah & Azri Juara Pickleball Berpasangan Tertutup UKAS 2026
KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol bersama gandingannya, Azri Saidol menjuarai kategori beregu lelaki Pertandingan Pickleball Berpasangan Tertutup UKAS sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) dan Sarawak Media Conference (SMeC) 2026, sekali gus menyemarakkan budaya hidup sihat, semangat kesukanan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Pasangan tersebut mempamerkan aksi cemerlang sebelum menewaskan saingan Ley Chee Hua dan Kamsul Suhaili yang muncul naib juara, manakala Yushairi Raduan dan Milton Sabai menduduki tempat ketiga.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, pertandingan yang dianjurkan khusus untuk warga UKAS itu mempertandingkan dua kategori, iaitu beregu lelaki yang disertai 12 pasangan dan beregu wanita membabitkan lapan pasangan.
"Walaupun ada di antara kita baru pertama kali menyertai pertandingan ini tetapi yang penting ialah kita dapat bersama.
"Mungkin pada masa hadapan UKAS juga dapat menyertai pertandingan ini di peringkat Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Sarawak. Kita juga berharap akan mengadakan pertandingan ini pada tahun akan datang,” katanya ketika berucap ringkas semasa majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut di sini, pada Jumaat.
Beliau menambah, penganjuran pertandingan itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat menerusi aktiviti sukan, malah menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kesukanan, disiplin dan kerja berpasukan, di samping mencungkil bakat baharu dalam sukan pickleball yang semakin mendapat sambutan.
Dalam kategori beregu wanita pula, pasangan Siti Zubaidah Bujang dan Jerida Andin dinobatkan sebagai juara, diikuti Mebang Bato dan Mia Amira Abdul Jalil di tempat kedua, manakala Maria Acher dan Hafizah Munirah Mahrap melengkapkan kedudukan tiga terbaik.-EDISI UKAS