Bahagian 3: Jambatan Siap, Rakyat Pesisir Mula Rasai Nikmat Dan Manfaatnya
Pembinaan jambatan di Sarawak merupakan nadi kepada perhubungan penting dalam membuka bidang baru sekali gus meningkatkan sosioekonomi setempat. Apabila semua jaringan jambatan ini siap, Sarawak akan memiliki sebuah sistem komunikasi jalan raya secara terus tanpa perlu menggunakan perkhidmatan feri selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 bagi mencapai kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Tahun 2026 menyaksikan sembilan lagi jambatan siap termasuk tiga daripadanya telah pun siap dan dirasmikan penggunaannya. Jambatan Batang Igan, Jambatan Sungai Krian dan Jambatan Batang Lupar 1 merupakan tiga daripada sembilan jambatan yang telah siap dan dirasmikan penggunaannya kepada orang ramai. Pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 kepada orang ramai pada 21 Mei lepas telah menjadi bualan rakyat Malaysia bukan sahaja dari segi reka bentuknya, tetapi juga mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi jambatan yang merentasi sungai terpanjang di Malaysia dengan kepanjangan 4.84 kilometer, mengatasi rekod Jambatan Sungai Johor sejauh 1.7 kilometer.
Pembukaan jambatan secara rasminya telah menghenti dan menamatkan perkhidmatan feri di kawasan tersebut. Kebergantungan penduduk kepada penggunaan feri selama ini ditamatkan bagi memberi laluan kepada sistem pengangkutan yang lebih selamat. Akibatnya, feri yang tidak lagi digunakan akan dipindahkan ke lokasi lain yang masih memerlukan perkhidmatan tersebut. Misalnya, perkhidmatan feri di Sungai Batang Igan selama 30 tahun berakhir. Begitu juga perkhidmatan feri di Triso yang ditamatkan pada 22 Mei apabila Jambatan Batang Lupar 1 siap sepenuhnya.
Selain tamatnya perkhidmatan feri, rakyat yang tinggal di sekitar kawasan tersebut turut menjimatkan masa perjalanan. Pengguna kini tidak lagi perlu menunggu jadual feri atau beratur panjang khususnya semasa musim perayaan. Juga, pengguna mempunyai akses jalan raya yang tersedia pada bila-bila masa tanpa had. Lebih penting, mengurangkan risiko keselamatan di air dengan memberikan perjalanan yang lebih lancar dan selamat.
Lebih menarik lagi, setiap jambatan mempunyai rekaan tersendiri yang boleh menjadi mercu tanda bagi setiap kawasan terbabit. Jambatan Batang Lupar 1 yang baharu siap dan dibuka kepada orang ramai telah menjadi sebutan di Malaysia. Ia bukan sahaja merentasi sungai terpanjang di Malaysia, tetapi mempunyai reka bentuk yang unik. Setiap keunikan jambatan ini menarik minat orang ramai berkunjung dan merasai keselesaan melalui Jambatan Batang Lupar 1.
Manfaat Siapnya Jambatan
Selain pemberhentian perkhidmatan feri dan menjimatkan masa perjalanan serta mercu tanda di beberapa bahagian, jambatan-jambatan ini juga telah merancakkan sektor ekonomi dengan membuka peluang kepada kemasukan pelaburan dan pembangunan perusahaan desa. Ia juga memudahkan logistik hasil pertanian dan perdagangan dari kawasan pesisir ke pasaran bandar, mengurangkan kos pengangkutan bagi usahawan tempatan. Kawasan luar bandar seperti Beladin, Pusa dan Pulau Bruit dijangka mengalami lonjakan ekonomi selepas jambatan di kawasan itu siap.
Demikian juga dengan kawasan seperti Marudi dan Pulau Bruit menjadi lebih mudah diakses, apabila membuka potensi pelancongan ekologi dan budaya serta memberi peluang kepada komuniti tempatan menjana pendapatan melalui perkhidmatan homestay, kraf tangan dan perkhidmatan pelancongan. Kemudahan ini membolehkan Kerajaan Sarawak menghidupkan dan merancakkan semula rancangan pembangunan seperti Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) seperti di Beladin atau pun di Semop yang pastinya memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Jambatan ini turut menyokong perancangan dan merancakkan sektor pertanian seperti Agropark Beladin, Agropark Sungai Baji, Agropark di Igan dan Agroapark di Bebuling Spaoh. Bagi kawasan yang dahulunya sukar dihubungi dan terlalu jauh, pembinaan jambatan dilihat suatu pendekatan yang terbaik. Ini menunjukkan kemudahan jambatan ini boleh mengubah kawasan-kawasan yang dahulunya sukar dibangunkan menjadi kawasan berpotensi untuk dibangunkan.
Di Bintulu, Jambatan Bintulu Jepak atau kini dikenali Jambatan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bukan sahaja merancakkan pembangunan di kawasan tersebut, tetapi juga memendekkan perjalanan dari Lapangan Terbang Bintulu ke bandar Bintulu atau dari kawasan penempatan di Jepak serta menjadi mercu tanda Bintulu yang baharu. Perjalanan yang dahulunya sejauh 22 kilometer yang melalui Jalan Bintulu-Sibu, kini hanya sejauh 6.4 kilometer yang melalui jalan pesisir Jepak, tetapi juga sebagai mercu tanda Bintulu.
Begitu juga dengan Jambatan Batang Rajang (Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang) yang terletak di Sungai Pasi yang telah mempercepatkan akses antara Sarikei dan Tanjung Manis, apabila mengurangkan masa perjalanan daripada 2.5 jam sebelum ini kepada kira-kira 45 minit. Pada sambutan Raya Aidilfitri 2026, pembukaan Jambatan Batang Rajang telah mencetuskan fenomena peningkatan luar jangka jumlah kenderaan sehingga menyebabkan kesesakan di Bandar Sarikei dan kawasan Feri Batang Palah.
Jambatan bukan sekadar projek infrastruktur fizikal yang menghubungkan satu kawasan ke kawasan lain tetapi ia lebih daripada itu. Sebenarnya, ia membawa akses kepada infrastruktur asas seperti saluran paip, kabel elektrik malah gentian optik. Ia turut menjimatkan kos logistik dan operasi kerana tanpa adanya jambatan, penghantaran bahan binaan, paip, dan peralatan utiliti ke kawasan terpencil memerlukan feri atau bot, yang mahal dan berisiko. Malah, dengan adanya jambatan, kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan air serta elektrik dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, efisien dan kos efektif. Bukan itu sahaja, ia menjadi penyelesaian bekalan air terawat kepada permasalahan sebelum ini seperti Pulau Bruit, Pusa dan Beladin kini boleh disambungkan melalui sistem paip yang merentasi jambatan seperti Jambatan Muara Lassa dan Batang Saribas.
Selepas ini beberapa kawasan luar bandar dan pedalaman di negeri ini akan mengalami banyak pembangunan sosioekonomi yang rancak ekoran lebih banyak projek pembangunan dan pelaburan dibawa masuk menggunakan jambatan. Ini sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar melalui integrasi rangkaian jalan pesisir (coastal road) dan jalan utama kedua (second trunk road). Misalnya, beberapa daerah dan daerah kecil seperti Sebuyau, Maludam, Beladin, Pusa, Spaoh, Sarikei, Mukah, Daro dan sekitarnya akan merasai pembangunannya.
Jika sebelum ini perkhidmatan asas sukar diakses dan sering menghadapi masalah disebabkan kesukaran membawa perkhidmatan dan barangan keperluan. Tetapi, dengan siapnya jambatan-jambatan ini mempercepatkan capaian penduduk luar bandar dan pedalaman kepada kemudahan kesihatan kecemasan, pendidikan, dan pusat pentadbiran kerajaan. Ini yang telah berlaku di beberapa kawasan terbabit sejajar dengan siapnya jambatan itu.
Kesimpulan
Siapnya jambatan-jambatan di jalan pesisir Sarawak menunjukkan satu transformasi besar dalam sistem perhubungan negeri yang menamatkan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri secara total. Lebih besar lagi, ia membuka lebih banyak peluang pembangunan dan pelaburan di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus memberikan kesejahteraan rakyat merasai nikmat pembangunan di mana sahaja di negeri ini.
Tidak lengkap apabila jalan yang menghubungkan jambatan juga siap hingga membolehkan perjalanan di sepanjang jalan pesisir lancar. Kelancaran ini membolehkan jarak perjalanan menjadi pendek dan mengurangkan masa perjalanan dari Kuching ke Miri. Jalan pesisir juga turut menjadi pilihan selain Lebuh Raya Pan Borneo yang menjadi tunjang kepada sistem pengangkutan utama di Sarawak.
Kedua-dua infrastruktur ini telah membuka peluang lebih banyak pembangunan dibawa masuk seperti pembukaan penempatan baharu, meningkatkan industri desa selain menjadi destinasi pelancongan baharu khususnya penerokaan alam sekitar yang menjadi teras kepada eko-pelancongan negeri.
Pembinaan jambatan-jambatan ini telah membawa lembaran baharu kepada rakyat Sarawak untuk terus merasai perjalanan yang lebih lancar, keselamatan terjamin, mengurangkan masa perjalanan, meningkatkan akses perjalanan dan sebagainya. Ia juga bukan sekadar projek kejuruteraan, sebaliknya merupakan tulang belakang pembangunan sosial dan ekonomi yang menghubungkan komuniti terpencil dengan pusat bandar secara lebih efisien dan selamat.