Geran MRP Perkasa Peranan Persatuan, Kelab & PIBG Bangunkan Komuniti
MUKAH: Kerajaan Sarawak terus komited menyokong pembangunan masyarakat menerusi penyaluran Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada persatuan, kelab dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai usaha memperkukuh pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, bagi tahun ini, keseluruhan peruntukan Geran MRP bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian berjumlah RM1.8 juta.
Beliau berkata, geran yang disalurkan bukan sekadar bantuan kewangan, malah merupakan amanah dan kepercayaan kerajaan kepada setiap pertubuhan untuk terus berbakti kepada masyarakat.
"Saya berharap setiap penerima menggunakan peruntukan ini secara berhemah, telus dan berintegriti mengikut tujuan yang telah diluluskan.
"Laksanakanlah program yang benar-benar memberi manfaat kepada ahli dan masyarakat sama ada dalam bidang pendidikan, kebajikan, sukan, kebudayaan, keagamaan mahupun pembangunan belia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran MRP DUN Balingian, di Pusat Khidmat N58 Balingian, pada Jumaat.
Pada majlis tersebut, seramai 62 penerima menerima geran pada sesi pagi, manakala sesi penyampaian diteruskan pada sebelah petang bagi membolehkan semua penerima yang diluluskan menerima peruntukan masing-masing.
Dalam pada itu, Abdul Yakub menegaskan Pusat Khidmat DUN N58 Balingian akan terus komited menyokong usaha pertubuhan dan organisasi tempatan dalam melaksanakan pelbagai program yang menyumbang kepada kesejahteraan serta pembangunan masyarakat.
Beliau turut berharap bantuan yang disalurkan dapat menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Turut hadir wakil Pejabat Daerah Mukah, Adri Musa serta wakil-wakil persatuan, kelab dan PIBG sekolah sekitar Balingian.-EDISI UKAS