Penempatan Sementara Antara Keutamaan Bantu Mangsa Kebakaran Rumah Jangi
BINTULU: Penyediaan penempatan sementara kepada mangsa kebakaran Rumah Jangi Jambai di Jalan Ulu Sebauh menjadi antara keutamaan dalam usaha memastikan kebajikan keluarga yang terjejas terus terpelihara sepanjang tempoh pemulihan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, keluarga mangsa akan dibantu mengemukakan permohonan kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bagi mendapatkan penempatan sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandaria Park tertakluk kepada kekosongan unit.
Beliau berkata, surat sokongan turut akan disediakan bagi membantu mempercepatkan proses permohonan tersebut.
“Kita mahu memastikan keluarga yang terjejas mempunyai tempat tinggal sementara yang selesa sementara proses pemulihan dilaksanakan,” katanya selepas menziarahi mangsa kebakaran di Rumah Jangi Jambai baru-baru ini.
Menurut beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut diminta menjalankan penilaian di lokasi bagi mengenal pasti tahap kerosakan rumah serta menyediakan anggaran kos pembaikan sebagai langkah susulan.
Selain penempatan sementara, bantuan keperluan asas termasuk sumbangan dan bakul makanan telah disalurkan kepada keluarga yang terjejas bagi meringankan beban mereka.
Katanya lagi, bantuan berkaitan keperluan persekolahan seperti pakaian, buku dan kelengkapan anak-anak mangsa turut akan diselaraskan melalui Pejabat Daerah dan pusat khidmat beliau bagi memastikan kebajikan keluarga yang terjejas terus diberi perhatian.
Dalam lawatan tersebut, Iskandar turut mengadakan perbincangan bersama pegawai Pejabat Daerah dan JKR bagi menyelaras tindakan susulan serta mengenal pasti bentuk bantuan tambahan yang diperlukan sepanjang tempoh pemulihan mangsa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi menyelamat dan pengurusan pascabencana, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah, JKR, SESCO serta Pejabat Parlimen Bintulu atas kerjasama yang diberikan.
Kejadian berlaku pada pada petang Rabu itu membabitkan sebuah rumah panjang 24 pintu di Jalan Ulu Sebauh yang didiami kira-kira 160 penduduk. — EDISI UKAS