Era Baharu Pengangkutan Udara Sarawak Bakal Bermula, AirBorneo Sedia Untuk Berlepas
KUCHING: AirBorneo kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh untuk melaksanakan penerbangan berjadual sulungnya ke destinasi di luar Malaysia Timur, sekali gus menandakan bermulanya era baharu dalam landskap pengangkutan udara Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, semua persiapan operasi syarikat penerbangan milik Sarawak itu kini berada pada landasan terbaik menjelang penerbangan sulung laluan Kuching–Kuala Lumpur–Kuching yang dijadual bermula pada 20 Julai ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) bagi meninjau tahap kesiapsiagaan operasi AirBorneo, pada Jumaat.
Lawatan beliau termasuk meninjau pesawat Boeing 737-800 yang baharu tiba serta menerima taklimat menyeluruh mengenai operasi penerbangan, pengendalian penumpang, sokongan kejuruteraan, prosedur keselamatan dan perkhidmatan darat.
Menurut beliau, tahap kesiapsiagaan AirBorneo turut dibuktikan menerusi pelaksanaan latihan simulasi operasi berskala penuh yang berjaya dilaksanakan pada 16 Julai dan sekali lagi pada 18 Julai menggunakan dua pesawat dalam suasana operasi komersial yang disimulasikan.
Katanya, latihan berkenaan melibatkan penumpang dan kru kabin sepenuhnya, dengan peserta turut dijemput mengemukakan maklum balas menerusi kod QR bagi membantu menambah baik mutu perkhidmatan sebelum syarikat memulakan operasi komersial.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Pengerusi Lembaga Pengarah AirBorneo merangkap Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki telah merasmikan Pejabat Tiket AirBorneo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada hari yang sama.
Menurut Dato Sri Lee, pembukaan pejabat tiket tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting apabila AirBorneo kini memasuki fasa akhir persiapan operasi, selain mencerminkan komitmen syarikat dalam menyediakan perkhidmatan yang mudah diakses oleh orang ramai.
“Pelancaran perkhidmatan berjadual pertama AirBorneo ke destinasi di luar Malaysia Timur bukan sekadar memperkenalkan laluan baharu.
“Ia merupakan satu lagi detik bersejarah bagi sektor pengangkutan Sarawak dan mencerminkan visi jangka panjang Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh hubungan udara, meningkatkan kebolehcapaian serta menyediakan lebih banyak pilihan kepada para penumpang,” katanya.
Beliau berkata, AirBorneo ditubuhkan dengan visi menawarkan perkhidmatan udara yang berkualiti, boleh dipercayai dan mampu melengkapi perkhidmatan penerbangan sedia ada, sekali gus memperkukuh hubungan udara, menyokong pertumbuhan sektor pelancongan serta perjalanan perniagaan, di samping merangsang pembangunan ekonomi jangka panjang negeri.
Selepas penerbangan sulung ke Kuala Lumpur pada 20 Julai, AirBorneo dijadual memulakan penerbangan berjadual pertama ke Singapura pada 22 Julai yang juga merupakan laluan antarabangsa sulung syarikat penerbangan tersebut.
Menurut beliau, pelancaran dua laluan utama itu dalam tempoh yang singkat membuktikan tahap kesiapsiagaan operasi AirBorneo serta komitmennya memperluaskan rangkaian penerbangan secara berperingkat, selain mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pintu masuk penerbangan yang semakin penting di rantau ini.
Beliau turut mendedahkan bahawa AirBorneo menyasarkan untuk memulakan penerbangan ke Kota Kinabalu dan Jakarta pada awal tahun hadapan, tertakluk kepada kelulusan kawal selia serta kesiapsiagaan operasi, selaras dengan pertambahan pesawat baharu yang akan diserap masuk ke dalam armadanya secara berperingkat sehingga 2027.
Katanya, peluasan armada itu akan membolehkan AirBorneo memperkenalkan lebih banyak destinasi domestik dan antarabangsa, meningkatkan kekerapan penerbangan serta menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau menegaskan Kerajaan Sarawak akan terus komited menyokong pertumbuhan jangka panjang AirBorneo sebagai sebahagian daripada strategi membangunkan ekosistem pengangkutan yang moden, cekap dan berdaya saing, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai hab penerbangan utama di Borneo dan rantau ASEAN. -EDISI UKAS