30 Pegawai Kanan RANDO SCS Ikuti Program Kepimpinan Berimpak Tinggi di Australia Barat
PERTH, AUSTRALIA: Seramai 30 pegawai kanan Gred 12 Residen dan Daerah (RANDO) daripada Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) mengikuti Program Strategi Intervensi Pegawai RANDO untuk merapatkan jurang kompetensi dan mempertingkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan awam dari 13 hingga 17 Julai 2026 di Australia Barat.
Program itu dianjurkan oleh Leadership Institute of Sarawak Civil Service (LISCS) bersama Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia (HRDM), Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Australian Institute of Management Western Australia (AIM WA).
Sepanjang program, peserta mengikuti modul pembangunan kepimpinan yang memfokuskan kepada empat bidang utama yang penting untuk pentadbiran awam moden iaitu ketangkasan kepimpinan, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), seni bina data dan digital serta pengurusan perubahan strategik.
Bagi memperkukuh pembelajaran, peserta turut mengadakan lawatan penanda aras ke beberapa institusi di Australia Barat termasuk City of Gosnells, City of Kalamunda, Pawsey Supercomputing Centre dan Pilbara Ports Authority bagi melihat pelaksanaan amalan terbaik dalam pentadbiran awam, kelestarian, transformasi digital serta pengurusan perubahan.
Melalui gabungan teori kelas yang intensif dan lawatan penanda aras praktikal, program tersebut mempersiapkan para peneraju pentadbiran daerah dengan instrumen terbaik bagi memandu pembangunan wilayah secara lestari.
Program ini turut memperkukuh kesiapsiagaan pegawai Residen dan Pegawai Daerah untuk menterjemahkan dasar serta agenda pembangunan Kerajaan Sarawak kepada pelaksanaan yang lebih berkesan di peringkat bahagian dan daerah demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS