Masjid Baharu Kampung Dit Bakal Beri Keselesaan Kepada 465 Jemaah
DEBAK: Penduduk Kampung Dit di sini bakal menikmati kemudahan rumah ibadat yang lebih selesa dan lengkap menerusi pembinaan masjid baharu yang menelan kos sebanyak RM4.688 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, pembinaan masjid baharu itu bukan sahaja bertujuan menggantikan masjid lama yang daif, malah menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif kepada penduduk setempat untuk melaksanakan ibadah.
"Masjid merupakan platform penting dalam menyatukan umat Islam serta menjadi wadah untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid Baharu Kampung Dit di Kampung Melayu Dit, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata umat Islam di Sarawak perlu terus berganding bahu bersama masyarakat daripada pelbagai etnik dalam usaha membangunkan negeri ini.
Katanya, semangat kerjasama dan perpaduan amat penting bagi memastikan Sarawak terus berkembang seiring dengan usaha Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg membawa idea-idea baharu dalam memacu pembangunan Bumi Kenyalang.
Projek yang dijangka siap pada 11 Julai 2027 itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 18 bulan dan mampu memuatkan sehingga 465 jemaah pada satu-satu masa.
Antara kemudahan yang akan disediakan ialah bilik imam, mihrab, mimbar, bilik audio visual (AV), ruang limpah atau koridor, bilik jenazah, ruang pejabat, pantri, tandas, tempat wuduk serta tandas khas untuk orang kurang upaya (OKU). -EDISI UKAS