Platform Berterusan Perkasa Usahawan Budaya, Pacu Industri Kreatif Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus menyokong pembangunan platform berterusan bagi memperkasa usahawan budaya sebagai usaha mengembangkan warisan tradisi menjadi industri kreatif yang mampu menjana pendapatan serta memperkukuh sektor pelancongan negeri.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, pembangunan industri budaya tidak boleh bergantung kepada penganjuran program secara sekali-sekala, sebaliknya memerlukan platform yang konsisten bagi membolehkan usahawan terus membina jenama, meningkatkan kualiti produk dan memperluaskan pasaran.
“Jika kita mahu budaya dan industri ini terus berkembang, para usahawan memerlukan platform yang boleh mereka harapkan, bukan sekadar peluang sekali sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Tuak Borneo (lBTF) 2026 di 11 Ridgeway, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, warisan budaya hanya akan terus relevan apabila generasi muda berminat untuk mewarisinya, manakala pengamal budaya pula mampu memperoleh sumber pendapatan daripada pengetahuan dan kemahiran yang diwariskan turun-temurun.
“Tradisi hanya akan terus hidup apabila masyarakat terus mengamalkannya, generasi muda berminat untuk mewarisinya, dan mereka yang memiliki pengetahuan tersebut mampu menjadikannya sebagai sumber pendapatan. Sebab itulah Festival Tuak Borneo amat penting.”
Katanya, Festival Tuak Borneo membuktikan bahawa budaya, keusahawanan dan pelancongan boleh digabungkan sebagai satu ekosistem yang saling menyokong, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti luar bandar.
Beliau berkata, hasil warisan seperti tuak bukan sahaja melambangkan identiti masyarakat Sarawak, malah mempunyai potensi untuk dipasarkan lebih meluas sebagai produk budaya yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Datuk Snowdan turut menyatakan harapan agar Festival Tuak Borneo dijadikan acara tahunan bagi memastikan usahawan tempatan mempunyai platform yang berterusan untuk mempromosi produk, menarik pelanggan baharu dan memperkukuh jenama masing-masing.
Beliau menegaskan bahawa kementeriannya akan terus menyokong inisiatif yang menghubungkan budaya, keusahawanan dan pelancongan kerana pendekatan tersebut mampu memperkukuh ekonomi kreatif serta meningkatkan daya saing Sarawak sebagai destinasi pelancongan budaya.
Festival Tuak Borneo 2026 menghimpunkan 108 vendor, kira-kira 40 jenama tuak dan lebih 100 variasi tuak, selain menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan, forum gastronomi, bengkel, persembahan kebudayaan dan program keusahawanan yang berlangsung sehingga 19 Julai.
Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Anielia Siam, Pengerusi Majlis Perniagaan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) Sarawak, Nobel Pang, dan Pengarah Urusan Kumpulan SAGO merangkap Penganjur Festival Tuak Borneo, Ehon Chan. - EDISI UKAS