Sarawak Uji Penanaman Padi Perennial di Daro-Matu, Premier Mahu Tingkatkan Keterjaminan Makanan
DARO: Kerajaan Sarawak akan memulakan projek perintis penanaman padi perennial di kawasan Daro dan Matu sebagai usaha memperkukuh keterjaminan makanan negeri melalui penggunaan teknologi pertanian moden.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek tersebut akan dilaksanakan hasil kerjasama dengan sebuah universiti di Yunnan, China yang telah membangunkan varieti padi berkenaan.
Menurut beliau, berdasarkan kajian saintifik, kawasan tanah di Daro dan Matu dikenal pasti sesuai untuk penanaman padi tersebut.
“Saya nak cuba di Daro kerana saintis berpendapat tanah di Matu dan Daro sesuai dengan padi itu. Kita akan mulakan projek percubaan dan benih dijangka disemai sekitar Ogos ini di Kuala Baram,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek Skim Perumahan Kampung SPK Daro, pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, keistimewaan padi perennial ialah ia hanya perlu ditanam sekali dan mampu mengeluarkan hasil untuk tempoh sehingga lima tahun, sekali gus mengurangkan kos penanaman dan meningkatkan produktiviti sektor pertanian.
Selain itu, beliau berkata, varieti beras yang dihasilkan juga mempunyai nilai kesihatan yang lebih baik serta sesuai dijadikan alternatif kepada pengguna.
Premier Sarawak turut memaklumkan bahawa kerajaan akan terus meneroka teknologi baharu dalam sektor pertanian bagi meningkatkan hasil pengeluaran makanan negeri, di samping memanfaatkan potensi kawasan Delta Rajang yang mempunyai keluasan tanah sesuai untuk pembangunan pertanian moden.
Beliau menegaskan, pembangunan sektor pertanian berteknologi tinggi merupakan antara strategi kerajaan dalam mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada penduduk luar bandar, sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah serta mengurangkan kadar kemiskinan di Sarawak.-EDISI UKAS