Kerajaan Sarawak Luluskan Peruntukkan Lengkap Jalan Ke SK Batang Lassa
DARO: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan bagi melengkapkan baki pembinaan jalan sepanjang 3.8 kilometer ke Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Lassa, sekali gus melengkapkan rangkaian jalan raya di kawasan itu demi manfaat penduduk setempat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengumumkan kelulusan tersebut pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Pesta Daro selepas permohonan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak komited memperkukuh jaringan jalan raya di kawasan pesisir menerusi pelaksanaan projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), selain pembinaan rangkaian jambatan yang kini menghubungkan kawasan seperti Batang Lupar, Sarikei, Tanjung Manis dan Daro.
"Lepas kita breakfast di Kuching, angkat pukul 8, pukul 11 sudah ada di Daro makan ikan terubuk. Daro tidak jauh lagi. Apa sahaja kampung dalam Daerah Daro akan dihubungkan melalui kemudahan jalan raya seperti yang diberitahu Dr Safiee sebentar tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Pesta Daro di sini pada Jumaat.
Sementara itu jelasnya, pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan telah memendekkan masa perjalanan dari Kuching ke Daro kepada kira-kira dua setengah hingga tiga jam, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan serta merancakkan pembangunan sosioekonomi kawasan berkenaan.
"Bermakna kemudahan yang kita bangunkan ini membolehkan kita merancang ekonomi menggunakan pendekatan baharu demi masa depan Sarawak sebagai negeri yang mempunyai kemudahan moden dan menjadi contoh di Malaysia seperti Bavaria, Jerman,” katanya.
Sementara itu, Dr Safiee berkata, apabila jalan akses ke SK Batang Lassa siap kelak, rangkaian jalan raya di seluruh DUN Daro akan menjadi lebih lengkap, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk serta meningkatkan akses kepada kemudahan pendidikan dan penempatan.
Pada majlis sama, Premier Sarawak turut menyampaikan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada penerima daripada kategori Bujang, Isi Rumah dan Warga Emas.
Beliau turut menyempurnakan penyerahan Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) bagi kawasan Batang Lassa, Daro serta penyerahan Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli serta ketua-ketua jabatan.-EDISI UKAS