Daro Bakal Miliki 131 Rumah Mampu Milik, Kerajaan Sarawak Tanggung Kos Tanah dan Infrastruktur
DARO: Daro bakal memiliki 131 rumah mampu milik menerusi pembangunan Skim Penempatan Kampung SPK apabila Kerajaan Sarawak memperuntukkan lebih RM20 juta bagi menyediakan kediaman berkualiti kepada penduduk, khususnya anak jati yang ingin pulang dan menetap di kampung halaman.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan itu merupakan sebahagian daripada pendekatan baharu kerajaan dalam memperluaskan pemilikan rumah di luar bandar selaras dengan pembangunan infrastruktur yang semakin pesat di Daro.
Menurut beliau, fasa pertama projek tersebut melibatkan pembinaan 59 unit rumah sebelum diperluaskan kepada keseluruhan 131 lot kediaman.
Beliau berkata, rumah yang dianggarkan bernilai sekitar RM300,000 itu dijual pada harga RM150,000 kerana kos tanah serta penyediaan infrastruktur ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
“Rumah ini sebenarnya kalau dilihat dengan tanah dan infrastrukturnya bernilai sekitar RM300,000. Tetapi rakyat hanya membayar RM150,000 kerana kos tanah dan infrastruktur ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.
Malah deposit RM10,000 juga dibayar oleh kerajaan, manakala baki pinjaman hanya dikenakan kadar satu peratus,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Skim Pembesaran Kampung(SPK) Lemang Pek, Kampung Tengah, Kampung Pantray Fasa 1, Daro, pada Jumaat.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan bantuan deposit sebanyak RM10,000 kepada pembeli, manakala baki pembiayaan boleh diperoleh melalui skim pinjaman kerajaan dengan kadar keuntungan hanya satu peratus setahun, sekali gus membolehkan ansuran bulanan dianggarkan sekitar RM200 hingga RM250.
Beliau berkata, rumah tersebut turut direka bentuk supaya pemilik boleh melakukan pengubahsuaian pada masa hadapan mengikut pelan yang telah disediakan bagi meningkatkan keluasan dan nilai hartanah.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan pembeli juga diberi pilihan memasang sistem solar di bumbung rumah dengan subsidi kerajaan sebanyak 50 peratus, sekali gus membolehkan lebihan tenaga dijual kepada Sarawak Energy sebagai kredit bil elektrik.
Mengulas pembangunan Daro secara keseluruhan, beliau berkata jaringan jalan raya termasuk Jambatan Batang Lassa telah membuka akses lebih baik kepada kawasan tersebut, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan akses pasaran kepada hasil penduduk luar bandar.
Hadir sama, Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul
Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak( Penyelaras Projek untuk Agensi , Pembangunan Wilayah dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Daro , Dr. Shafiee Ahmad, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah(LCDA) Datu Sr Zaidi Mahdi serta ketua-ketua jabatan yang hadir.-EDISI UKAS