MPHLG Nasihat Pembekal, Orang Awam Waspada LPO Palsu
KUCHING: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) Sarawak menasihatkan semua pembekal, kontraktor, penyedia perkhidmatan serta orang awam supaya lebih berhati-hati berhubung penyebaran Pesanan Pembelian Tempatan (LPO) palsu yang menggunakan nama dan butiran kementerian.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, kementerian itu memaklumkan bahawa LPO yang sedang sedang diedarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab berkenaan adalah palsu, tidak sah dan tidak pernah dikeluarkan oleh MPHLG.
Kementerian menegaskan, sebarang permintaan pembekalan, perkhidmatan atau tuntutan pembayaran berasaskan dokumen itu adalah penipuan dan tidak wajar dilayan.
Sehubungan itu, MPHLG berkata, semua pihak diminta menyemak dan mengesahkan kesahihan mana-mana LPO yang didakwa dikeluarkan oleh kementerian sebelum menerima pesanan, membekalkan barangan atau perkhidmatan atau memproses pembayaran.
MPHLG turut memaklumkan bahawa kes tersebut telah dirujuk kepada pihak berkuasa penguatkuasaan berkaitan untuk siasatan lanjut, manakala tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terlibat dalam penghasilan, penggunaan atau pengedaran dokumen palsu tersebut.
Dalam pada itu, mana-mana pihak yang menerima LPO mencurigakan atau dihubungi oleh individu yang mendakwa mewakili kementerian berhubung dokumen berkenaan diminta segera menghubungi MPHLG bagi tujuan pengesahan serta membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).-EDISI UKAS