Youth Combat Cungkil Potensi Jaguh Sukan Tempur Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Sukan tempur seperti tinju, Muay Thai dan seni mempertahankan diri campuran (MMA) dilihat mampu menjadi antara platform baharu dalam mencungkil serta membentuk lebih ramai atlet muda berkaliber dari Sarawak.
Legenda tinju negara dan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1998, Leftenan Kolonel (KM) Sapok Biki berkata, potensi tersebut semakin jelas berikutan pertumbuhan kelab-kelab sukan tempur serta kemunculan atlet muda Sarawak yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, pengalaman atlet senior yang kini menceburi bidang kejurulatihan perlu dimanfaatkan bagi membimbing generasi baharu dengan ilmu, pengalaman dan strategi yang tepat.
“Potensi untuk melahirkan juara baharu dalam kalangan belia Sarawak memang ada. Generasi muda hari ini mempunyai peluang untuk pergi lebih jauh apabila mereka mendapat bimbingan daripada atlet dan jurulatih yang berpengalaman.
“Kami yang pernah melalui pengalaman bertanding boleh berkongsi ilmu dan kaedah untuk membantu mereka mencapai kejayaan. Tidak mustahil generasi baharu ini akan menjadi lebih hebat dalam kejohanan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Youth Champion: Youth Combat sempena Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di Dewan Suarah Kota Samarahan, pada Rabu.
Sapok Biki turut menekankan keperluan memperkukuh sokongan terhadap pembangunan sukan tempur, khususnya dari segi penyediaan peralatan latihan khusus serta kemudahan yang bersesuaian.
Katanya, kewujudan pusat latihan yang mudah diakses golongan belia juga penting bagi membuka ruang kepada lebih ramai anak muda mengenali dan menceburi sukan tempur secara tersusun.
“Saya berharap kementerian dapat membantu dari segi peralatan khusus, peralatan latihan serta tempat latihan yang sesuai dan berdekatan dengan kawasan tumpuan penduduk dan belia.
“Apabila kemudahan mudah diakses, lebih ramai anak muda boleh datang berlatih dan bakat-bakat baharu dapat dikenal pasti,” katanya.
Ujarnya, pembangunan secara berterusan dengan sokongan kerajaan, jurulatih dan komuniti sukan mampu meningkatkan peluang atlet Sarawak untuk bukan sahaja mendominasi kejohanan di peringkat negeri, malah mencipta nama di pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Sementara itu, Program Youth Combat yang berlangsung sebagai sebahagian daripada pengisian Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 menghimpunkan 25 pelajar sekolah rendah dan menengah berusia antara 11 hingga 16 tahun.
Peserta menerima bimbingan daripada 25 jurulatih tempatan yang diketuai Sapok Biki selaku ketua jurulatih, termasuk pendedahan asas teknik serta demonstrasi melalui sesi latihan dan aksi sparing.
Program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mengenali asas sukan tempur, malah menjadi medan untuk membina disiplin, keyakinan diri, kecergasan fizikal dan semangat kesukanan dalam kalangan generasi muda. -EDISI UKAS