MIRI: Pemantauan menggunakan dron dilaksanakan setiap hari termasuk pada waktu malam bagi mengesan sebarang aktiviti pembakaran dan mencegah kejadian jerebu tempatan di Miri.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sebagai langkah pencegahan, agensi berkaitan turut diarahkan meneruskan rondaan dan pemantauan serta mengambil tindakan segera sekiranya mengesan asap atau kebakaran.
“Jabatan Alam Sekitar gunakan dron. Kita terbang, periksa dan buat pemantauan. Kita tidak mahu jerebu tempatan berlaku.
“Setiap hari tolong buat pemantauan. Waktu malam pun kita boleh terbangkan dron. Kalau nampak ada asap, ambil tindakan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Hands-On Prosedur Tetap Operasi Mencegah Kebakaran Tanah Gambut di bawah Projek Ketersediaan Infrastruktur di Kawasan Tanah Gambut dan Kawasan Lain Berpotensi Kebakaran Untuk Mengatasi Jerebu 2026 di Pusat Konvensyen dan Pameran Kenyalang (KCEC), di sini, pada Rabu.
Menurutnya, langkah pemantauan berterusan itu penting bagi memastikan sebarang aktiviti pembakaran dapat dikesan lebih awal sebelum merebak dan menjejaskan kualiti udara di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, Dato Sri Lee berkata, berdasarkan pemantauan dan maklumat yang diterima daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri yang juga Residen Bahagian Miri, Galong Luang, setakat ini tiada kejadian kebakaran dilaporkan di Miri yang boleh dikaitkan dengan keadaan jerebu.
“Setiap hari saya tanya Pengerusi JPBB Miri, ada kebakaran di Miri atau tidak. Beliau kata tidak ada laporan kebakaran di Miri.
“Ini bermakna jerebu Miri ini datang daripada luar. Jerebu ini datang sebab angin bertiup ke Miri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus mempergiatkan rondaan dan pemantauan di lapangan.
Beliau turut menasihatkan ketua masyarakat dan ketua kaum supaya membantu menyampaikan mesej kesedaran kepada penduduk agar tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya dalam keadaan cuaca kering ketika ini.
“Apa yang kita mahu ialah pencegahan. Kita tidak mahu kebakaran berlaku dan kemudian baru kita melawannya. Itu yang kita mahu elakkan,” katanya.
Berdasarkan Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Sarawak keluaran NREB setakat jam 4 petang hari ini, Miri merekodkan bacaan IPU 151 yang dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala kawasan ILP Miri mencatat bacaan IPU 92 iaitu pada tahap sederhana. -EDISI UKAS