TVET Wajar Dilihat Sebagai Laluan Kerjaya, Bukan Pilihan Kedua
MERADONG: Pelajar luar bandar perlu diberi pendedahan lebih awal mengenai pelbagai laluan pendidikan tinggi dan bidang kemahiran bagi membantu mereka merancang masa depan berdasarkan minat, kebolehan serta potensi diri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata pilihan pendidikan selepas tamat persekolahan tidak seharusnya hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.
Menurutnya, pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang baik boleh memilih institusi pengajian tinggi dan bidang yang diminati, manakala mereka yang lebih cenderung kepada pembelajaran secara praktikal boleh mempertimbangkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Bagi pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang baik, mereka boleh memilih universiti yang diminati.
“Manakala bagi mereka yang kurang menyerlah dalam akademik, TVET atau bidang kemahiran praktikal boleh menjadi pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Project of Dreams Realized Roadshow (Pro-DR) 2026 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kai Chung, Meradong, pada Rabu.
Mengulas lanjut “, Datuk Ding berkata penganjuran program berkenaan menyediakan platform kepada pelajar, khususnya di kawasan luar bandar, untuk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pelbagai institusi pengajian tinggi serta pilihan bidang kemahiran yang tersedia.
Jelasnya, pendedahan sedemikian penting supaya pelajar dapat membuat keputusan pendidikan dengan lebih yakin serta memilih laluan yang bersesuaian dengan kecenderungan dan kemampuan masing-masing.
“Pada masa yang sama, pelajar yang lebih cenderung kepada pembelajaran secara praktikal boleh mempertimbangkan laluan TVET sebagai pilihan untuk membangunkan kemahiran dan mempersiapkan diri ke alam pekerjaan,” ujar beliau.-EDISI UKAS