Belia Asia Perlu Jadi Peneraju AI, Bukan Sekadar Pengguna
KUCHING: Belia Asia perlu beralih daripada sekadar pengguna kepada peneraju teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan rantau ini mempunyai keupayaan sendiri dalam menentukan hala tuju teknologi masa depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Hui Kian berkata, perkembangan pesat AI dan pendigitalan menjadikan penguasaan teknologi berkenaan semakin penting, khususnya bagi generasi muda yang bakal membentuk landskap masa depan Asia.
Menurut beliau, rantau ini tidak seharusnya hanya bergantung kepada teknologi dan algoritma yang dibangunkan pihak lain, sebaliknya perlu membangunkan kepakaran sendiri serta memainkan peranan lebih besar dalam penerokaan dan pembangunan AI.
“Asia mesti bukan sahaja percaya kepada AI, tetapi mengambil alih dan menjadi pemimpin dalam AI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Asian Youth Learners Dialogue 2026 di Pusat Sains Sarawak, pada Rabu.
Ujar beliau, perkara itu penting memandangkan Asia mempunyai kedudukan strategik dengan kira-kira 60 peratus populasi dunia, selain menjadi antara kuasa ekonomi utama global.
Datuk Amar Dr Sim menambah, penguasaan AI oleh generasi muda rantau ini juga penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar dalam aspek teknologi yang semakin mempengaruhi kehidupan seharian.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan peserta Asian Youth Learners Dialogue 2026 memanfaatkan platform berkenaan untuk bertukar pengetahuan, berkongsi idea serta membina jaringan kerjasama antara generasi muda dari pelbagai negara Asia.
“Platform seperti Asian Youth Learners Dialogue penting dalam membina hubungan antara golongan muda kerana jaringan yang terbentuk hari ini berpotensi menjadi asas kepada kerjasama lebih luas pada masa hadapan,” ujarnya lagi.
Beliau turut berharap hubungan serta persahabatan yang terjalin menerusi program tersebut dapat diteruskan dalam jangka panjang, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda untuk menyumbang kepada masa depan Asia. -EDISI UKAS