Youth Combat Buka Ruang Wanita Ceburi Sukan Tinju, Bina Keyakinan Diri
KOTA SAMARAHAN: Sukan tinju bukan lagi dilihat sebagai bidang yang hanya sesuai untuk lelaki, malah semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan muda termasuk wanita kerana mampu membentuk kecergasan, disiplin dan keyakinan diri.
Nur Aullya Rania Adhar yang berumur 16 tahun membuktikan penyertaannya dalam Program Youth Champion: Youth Combat sempena Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Rabu.
Pelajar Tingkatan Empat SMK Bandar Baru Samariang yang menjalani latihan di Panglima Seman Boxing Club itu berkata, program berkenaan memberinya peluang mempelajari teknik asas tinju secara lebih dekat di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Leftenan Kolonel (KM) Sapok Biki.
Menurutnya, penglibatan wanita dalam sukan lasak seperti tinju wajar diperluaskan kerana kemahiran yang dipelajari bukan sahaja untuk pertandingan, malah boleh dimanfaatkan bagi tujuan mempertahankan diri.
“Masih ramai wanita yang berminat untuk mengikuti sukan ini. Kita perlu menggalakkan lebih ramai wanita menceburi sukan tinju dan membuktikan bahawa wanita juga mampu menyerlah dalam sukan lasak,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.
Sementara itu, peninju muda, As Syauqi Azli, 14, berkata pengalaman selama tiga tahun dalam sukan tinju menjadikan dirinya semakin yakin serta mampu menyesuaikan diri dengan latihan dan cabaran yang diberikan.
Pelajar Tingkatan Dua SMK Tun Abang Haji Openg itu berkata, sepanjang mengikuti latihan, dia tidak pernah mengalami sebarang kecederaan serius, sekali gus meningkatkan minatnya untuk terus mengembangkan potensi dalam sukan berkenaan.
“Selama tiga tahun mengikuti sukan ini, saya tidak pernah luka atau cedera walau sekalipun,” katanya.
Komitmen dan prestasi yang ditunjukkan sepanjang program turut membuahkan hasil apabila As Syauqi dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Youth Combat.
Pengiktirafan tersebut melayakkannya menerima sepasang sarung tinju daripada Sapok Biki, sekali gus menjadi suntikan semangat kepada peninju muda itu untuk terus serius dalam bidang berkenaan.
Program Youth Champion: Youth Combat menghimpunkan 25 peserta berusia antara 11 hingga 16 tahun dengan bimbingan 25 jurulatih tempatan, sekali gus memberi pendedahan kepada generasi muda terhadap asas, teknik dan disiplin sukan tempur. -EDISI UKAS