KUALA LUMPUR: Sebanyak lima sukan baharu telah ditambah dalam temasya Sukan SEA Ke-34 2027 selepas Majlis Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) meluluskan senarai akhir pada Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan sukan yang dipertandingkan kepada 43 sukan.
Sukan baharu yang diluluskan ialah dance sport, hoki ais, kabaddi, padel dan teqball, manakala chinlone dimasukkan sebagai satu disiplin di bawah sepak takraw dan polo di bawah ekuestrian.
Keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Kedua Majlis SEAGF bagi penggal 2025–2027 di Sunway Resort Hotel itu melengkapkan proses kelulusan program sukan menjelang Malaysia menjadi tuan rumah temasya berkenaan.
Setiausaha Agung SEAGF dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nasir Ali yang dipetik dalam akhbar tempatan berkata kelulusan majlis itu bermakna program sukan kini telah dimuktamadkan.
Malaysia sebelum ini memperoleh kelulusan untuk 38 sukan semasa Mesyuarat Pertama Majlis SEAGF pada April lalu sebelum Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan negara-negara anggota dijemput mengemukakan rayuan untuk menambah sukan lain.
Sebanyak 30 rayuan diterima sebelum tarikh akhir pada 8 Mei, dan hasil perbincangan antara SEAGF dengan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC), lima lagi sukan akhirnya dimasukkan ke dalam program.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Rashid Yaakub, berkata mesyuarat pada Jumaat itu merupakan peluang terakhir untuk membuat sebarang pindaan terhadap program sukan.
"Mesyuarat ini adalah yang terakhir bagi Majlis SEAGF meluluskan jumlah sukan. Kini secara rasmi terdapat 43 sukan dan keputusan ini adalah muktamad,” katanya.
Beliau berkata venue bagi 38 sukan asal telah disahkan, manakala rundingan masih dijalankan dengan Sarawak dan Pulau Pinang untuk menjadi tuan rumah bagi beberapa sukan yang baru diluluskan.
"Setakat ini, venue bagi 38 sukan telah disahkan. Kami sedang berunding dengan Sarawak dan Pulau Pinang mengenai beberapa sukan tambahan, walaupun kebanyakannya masih akan diadakan di Kuala Lumpur.
"Kami berharap satu atau dua sukan dapat dipertandingkan di sana, namun perbincangan masih berjalan,” ujarnya.
Beliau turut mengesahkan bahawa acara polo dijangka akan berlangsung di Kuala Lumpur.
Rashid berkata MASOC dijangka mengumumkan senarai lengkap disiplin dan acara pingat menjelang September, selaras dengan Piagam Sukan SEA.
Sukan SEA Ke-34 akan berlangsung di Malaysia dari 18 hingga 29 September 2027, sekali gus menjadi kali ketujuh negara menjadi tuan rumah temasya sukan dwitahunan itu.
Temasya tersebut akan diadakan di empat kluster utama iaitu Sarawak, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor. - EDISI UKAS